AM

RUSIA TIDAK SERTAI PAMERAN DSA, NATSEC 2024

12/04/2024 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Rusia tidak akan menyertai Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang akan berlangsung dari 6 hingga 9 Mei depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pengarah Eksekutif DSA 2024 Nadzeem Abdul Rahman mengesahkan perkara itu berkata pihak yang mahu menyertai pameran pertahanan dan keselamatan dwitahunan itu perlu berbuat demikian atas dasar sukarela kerana pihak penganjur tidak mengeluarkan sebarang jemputan.

“Kita mengambil pendekatan tidak menjemput. Mereka perlu voluntary (sukarela).  Maksudnya jikalau mereka hendak menyertai (Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024), mereka yang meminta untuk menyertainya. Kita tidak akan memaksa atau memohon mereka untuk sertai.”

“Daripada segi penyertaan negara Rusia, tidak ada pada (edisi) kali ini. Kita tidak menjemput, tetapi kita menerima,” katanya kepada Bernama dalam temu ramah eksklusif sempena penganjuran pameran pertahanan dan keselamatan terbesar di Asia Tenggara itu, baru-baru ini.

Nadzeem berkata hasil perbincangan dengan syarikat Rusia didapati mereka memerlukan jemputan untuk sertai pameran pertahanan dan keselamatan dwitahunan itu tetapi penganjur mengambil pendekatan tidak mengeluarkan jemputan.

Walaupun Rusia tidak akan menyertai pameran pertahanan dan keselamatan Mei depan itu, namun produk pertahanan negara itu berkemungkinan akan dipamerkan melalui wakil-wakil syarikat mereka di negara ini.

“Saya pasti kemungkinan produk-produk mereka (Rusia)  juga akan dipamerkan (pada DSA and NATSEC Asia 2024) melalui ejen atau pun wakil-wakil (syarikat) mereka (di Malaysia),” kata beliau.

Syarikat dari Rusia merupakan antara pempamer terbesar pada edisi pameran pertahanan dwitahunan itu sebelum ini.

Menurut Nadzeem sehingga kini 30 negara telah mengesahkan penyertaan dalam pameran pertahanan dan keselamatan dwitahunan itu termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.

"Secara keseluruhan Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 akan mencatat penyertaan lebih 1,200 syarikat dari 45 negara dengan memberi fokus kepada pembangunan industri tempatan dan kerjasama antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata penyertaan pempamer untuk tahun ini telah melepasi rekod Pameran DSA dan NATSEC Asia 2022.

Turkiye menurutnya sekali lagi muncul sebagai kontinjen terbesar pada Pameran DSA dan NATSEC 2024 dengan hampir 70 syarikat daripada negara Mediterranean itu telah mengesahkan penyertaan termasuk Aselsan, Canik, Dearsan Shipyard dan Turkish Aerospace Industries.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan