AM

Sarawak Mampu Jadi Rakan Niaga Yang Baik - Duta Turkiye

18/04/2024 05:11 PM

KUCHING, 18 April (Bernama) -- Sarawak mampu menjadi rakan niaga yang baik untuk Turkiye mengembangkan perniagaan, kata Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel.

Beliau berkata ini berdasarkan sumber dan iklim perniagaan di Sarawak yang dilihat boleh memberi peluang untuk Turkiye menjalin kerjasama yang mampu membuahkan hasil. 

“Saya fikir ia bakal menjadi masa yang sesuai memandangkan selepas COVID-19 (pandemik), semua orang mencari peluang perniagaan di negara yang berbeza. Saya fikir Sarawak boleh menjadi rakan niaga yang sangat baik untuk perniagaan di Turkiye,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri di sini hari ini, Emir Salim berkata lawatan ke Sarawak hari ini adalah yang kedua sejak menjadi duta Turkiye.

“Saya sangat gembira berada di Sarawak sekali lagi, saya pernah melawat Sarawak pada September (tahun lepas) semasa Hari Malaysia pada 16 Sept dan saya berpeluang melihat kekayaan serta keindahan Sarawak,” katanya.

Mengenai kunjungan hormat itu, beliau berkata mereka telah membincangkan topik merangkumi perdagangan dan kerjasama bersama antara Turkiye dan Sarawak.

Duta itu berkata beliau akan mengetuai delegasi yang bakal mengadakan pertemuan dengan pengurusan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan beberapa organisasi perniagaan di negeri ini, esok.

“Apa yang saya cuba usahakan ialah untuk menjalinkan hubungan antara pihak berkuasa Sarawak dan khususnya bagi golongan perniagaan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan