JENAYAH & MAHKAMAH

PENIPUAN SMS KEMBALI DIKESAN, 18 KES SETAKAT APRIL

19/04/2024 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Penipuan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dalam mesej pautan dikesan kembali aktif dengan 18 kes dilaporkan melibatkan kerugian RM229,868 bagi tempoh 1 Jan hingga 17 April lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa dilaporkan akan menerima SMS kononnya daripada syarikat telekomunikasi terkenal.

“Kandungan SMS terbabit menyatakan mangsa mempunyai mata ganjaran yang bakal tamat tempoh dan digesa untuk segera menebus mata ganjaran itu melalui pautan yang disertakan.

“Mangsa yang menekan pautan berkenaan akan diminta untuk memasukkan maklumat perbankan dalam talian milik mereka termasuklah nombor OTP (one time pin code) yang diterima. Mangsa kemudian akan mendapati wang daripada akaun bank mereka berkurangan,” katanya dalam sidang media situasi semasa jenayah komersial di sini hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diingatkan tidak mudah terperdaya dan dapatkan pengesahan daripada syarikat telekomunikasi yang berkaitan sekiranya menerima SMS meragukan.

Dalam pada itu, Ramli menyarankan syarikat perbankan di negara ini mencari kaedah baharu untuk meyakinkan pelanggan semasa berinteraksi melalui penggilan telefon bagi mengelak pelanggan mereka menganggap panggilan terbabit daripada scammer.

Ia berikutan syarikat perbankan mengalami kesukaran untuk menghubungi pelanggan mereka yang kebanyakannya tidak mahu menjawab panggilan atau mematikan panggilan kerana tidak ingin menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Perkara ini berlaku kerana antara modus operandi yang kerap dilaporkan dalam kes penipuan dalam talian ialah penggunaan panggilan telefon untuk menghubungi mangsa. 

“Situasi ini menimbulkan stigma dalam kalangan masyarakat bahawa apa jua panggilan daripada nombor tidak dikenali ialah scammer,” katanya.

Ramli berkata beliau sendiri pernah menerima panggilan daripada pihak bank menggunakan nombor tidak dikenali dan meminta pengesahan tanpa memberitahu tujuan menghubunginya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan