EKONOMI

Lrt Laluan Mutiara Tingkatkan Mobiliti, Sokong Potensi Ekonomi Pulau Pinang

21/04/2024 02:24 PM

Oleh Farhana Poniman

GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang bersedia untuk meningkatkan mobiliti secara ketara, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan melonjakkan sektor ekonomi dan pelancongan negeri.

Projek infrastruktur transformatif itu juga sebenarnya sejajar dengan inisiatif Pulau Silikon untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi utama bagi pelabur berteknologi tinggi.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata projek pembangunan itu berpotensi menjadi pemangkin kebangkitan Pulau Pinang memandangkan jurang geografi dapat ditangani selain mengetengahkan Pulau Pinang dalam mempamerkan potensinya sebagai destinasi pelaburan utama.

Beliau berkata susulan laporan terkini mengenai pelabur beralih dari Singapura disebabkan peningkatan kos operasi perniagaan di sana justeru dalam konteks itu, Pulau Pinang mempunyai ketersediaan infrastruktur untuk menawarkan lokasinya sebagai alternatif kepada Singapura.

“Dalam peralihan landskap pelaburan global, kos operasi yang melonjak di Singapura telah membayangi daya tarikannya yang pernah terkenal.

“Apabila pelabur berundur dari Lion City itu, Pulau Pinang muncul sebagai alternatif yang menarik dengan infrastruktur yang baik. Projek LRT ini akan meningkatkan lagi imej Pulau Pinang untuk menarik pelabur,” katanya kepada Bernama.

Zairil berkata projek LRT itu juga menjanjikan kualiti hidup yang lebih baik melalui pengangkutan yang cekap dan kelestarian alam sekitar dengan mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan wawasan Pulau Pinang 2030.

Projek LRT itu telah berada dalam perancangan kerajaan Pulau Pinang sejak sembilan tahun lepas dan melalui proses untuk semua kelulusan yang diperlukan dan penting seperti Skim Kereta Api dan Penilaian Impak Alam Sekitar.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata projek LRT itu akan memberi kesan limpahan positif kepada ekonomi negeri.

“Pembinaan LRT akan membawa pekerjaan untuk kontraktor tempatan, mendorong permintaan tinggi terhadap bahan binaan seperti keluli, konkrit dan jentera, antara lain.

“Apabila siap, infrastruktur LRT akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan tempoh perjalanan bagi penduduk Pulau Pinang untuk pergi bekerja dan juga mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Pada 29 Mac lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri, dengan MRT Corporation dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset.

Beliau berkata perolehan projek terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu untuk kerja-kerja pembinaan sivil bagi Segmen 1 iaitu jajaran Pulau Silikon ke Komtar; kerja-kerja untuk pembinaan sivil bagi Segmen 2 iaitu jajaran dari Komtar ke Penang Sentral dan kontrak ‘turnkey’ kerja-kerja sistem dan gerabak secara bina-selenggara-pindah (BMT).

SRS Consortium yang 60 peratus milik Gamuda Bhd dilantik sebagai rakan kongsi pelaksanaan projek (PDP) untuk segmen pertama dan sasaran penyiapan keseluruhan LRT Pulau Pinang adalah pada 2030.

Dalam satu nota penyelidikan, penganalisis CIMB Securities Mak Hoy Ken berkata dianggarkan bahawa SRS Consortium telah membiayai lebih RM100 juta untuk menjalankan kajian teknikal dan reka bentuk awal bagi memulakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang serta mendapatkan kelulusan bagi kajian berkaitannya.

“Jangkaan awal kami bahawa bahagian kerja-kerja awam bagi laluan sepanjang 24 kilometer ini boleh bernilai hampir RM8 bilion.

“Kami percaya projek itu boleh dibahagikan lagi kepada lebih 30 pakej untuk memberi manfaat kepada spektrum subkontraktor dan pembekal yang lebih luas, selain memastikan tahap penyertaan bumiputera yang saksama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan