EKONOMI

Palm Beach Resort & Spa Tingkatkan Tarikan Pelancongan Labuan

22/04/2024 08:14 PM

LABUAN, 22 April (Bernama) -- Palm Beach Resort & Spa di Labuan merangkul gelaran sebagai resort utama pulau itu, sekali gus menjadi penanda aras untuk kemudahan dan layanan bertaraf antarabangsa.

Terkenal dengan gabungan kemewahan dan kesantaian yang ideal, tempat peranginan itu telah menjadi daya tarikan kepada pelawat antarabangsa dan domestik.

Palm Beach Resort & Spa yang ditubuhkan pada 1980-an, secara konsisten menawan hati tetamu dengan seni bina elegan dan kontemporari yang tidak lapuk ditelan zaman.

Dengan kemudahan bertaraf dunia dan perkhidmatan terbaik, ia mengukuhkan status sebagai puncak kecemerlangan dalam bidang hospitaliti di Labuan.

 Para pengunjung ke resort ini akan disambut oleh pantai yang bersih, tumbuh-tumbuhan hijau yang subur, dan keselesaan yang tiada tandingan, menjadikannya sebagai oasis ketenangan di tengah-tengah kesibukan di pulau bebas cukai itu.

“Kami berbesar hati diiktiraf sebagai tempat peranginan utama Labuan oleh ejen pelancongan antarabangsa dan pelancong asing … penghargaan ini mencerminkan komitmen teguh kami untuk memberi pengalaman luar biasa kepada tetamu, sama ada mereka ke sini untuk urusan perniagaan atau percutian,” kata Pengarah Palm Beach Resort & Spa Chai Tze Kee kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata daya tarikan Palm Beach Resort & Spa melangkaui tarikan fizikal, ia juga membuktikan bahawa kemasyhuran Labuan sebagai kawasan tumpuan pelancong semakin meningkat.

“Dengan lokasinya yang strategik, jauh daripada kesibukan bandar Labuan, dan kemudahan bertaraf tinggi, resort ini berfungsi sebagai pintu untuk mengenali warisan budaya pulau itu dan keajaiban alam semula jadi.

“Kami berbangga mempamerkan keindahan Labuan kepada dunia melalui resort kami … kejayaan kami saling berkait dengan daya tarikan pulau ini dan komited untuk mempromosikan amalan pelancongan mampan yang memberi manfaat kepada pengunjung dan komuniti setempat,” kata Chai.

Beliau berkata Palm Beach Resort & Spa bersedia untuk menerima pelancong yang ingin merasai pengalaman sebenar dan memberi layanan mesra kepada mereka.

“Dengan dedikasi terhadap kecemerlangan yang tidak berbelah bagi, Palm Beach Resort & Spa akan terus kekal sebagai asas industri hospitaliti Labuan bagi tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Ismail menyifatkan pengiktirafan itu dapat merancakkan lagi industri pelancongan Labuan.

“PL mempunyai pelbagai perancangan untuk menambah baik kemudahan pelancongan di pulau ini bagi melengkapkan usaha Palm Beach Resort & Spa dalam menggalakkan sektor pelancongan di sini.

“Kami meneruskan projek berkaitan kemudahan pelancongan bersama projek penambahbaikan kemudahan awam yang bertujuan meningkatkan imej pelancongan Labuan,” kata Rithuan.

Beliau juga menekankan bahawa usaha untuk memperkukuh pelancongan Labuan adalah berterusan dan sejajar dengan agenda kerajaan Persekutuan untuk memupuk pembangunan positif dalam sektor pelancongan di pulau itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan