AM

ESCAP 80: MALAYSIA TEKANKAN KOMITMEN KEPADA PEMBANGUNAN MAMPAN SEJAK DAHULU LAGI

23/04/2024 12:37 AM

BANGKOK, 22 April (Bernama) --  Malaysia akan terus memanfaatkan inovasi digital untuk intervensi dasar yang lebih baik dan mempertingkatkan program perlindungan sosial bagi mencapai agenda pembangunan mampan.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata dedikasi Malaysia terhadap agenda pembangunan mampan adalah sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dalam tahun 1970-an yang memberi tumpuan kepada pembasmian kemiskinan dan penstrukturan semula masyarakat.

“Pencapaian SDG (Matlamat Pembangunan Mampan) memerlukan kerjasama serantau yang kuat dan perkongsian yang membawa perubahan serta Malaysia menyeru supaya sokongan dan bantuan untuk negara membangun ditingkatkan menerusi pembiayaan yang mencukupi, pengetahuan teknikal, pemindahan teknologi dan pembinaan keupayaan yang berterusan,” katanya.

Hanifah Hajar berkata demikian dalam rakaman video  beliau yang ditayangkan ketika Sesi Ke-80 Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik (ESCAP 80), di sini pada Isnin.

Beliau berkata pendekatan menyeluruh negara yang merangkumi proses membuat keputusan dan tindakan susulan penting untuk membawa SDG kepada satu agenda yang sama.   

“Di Malaysia Perdana Menteri mempengerusikan Majlis SDG mewakili badan tadbir urus tertinggi untuk mengemudi pelaksanaan SDG dengan penyertaan sektor awam dan swasta, organisasi masyarakat madani dan ahli akademi,” katanya. 

Beliau berkata strategi yang sedang dijalankan sekarang untuk mewujudkan persekitaran memboleh untuk ekonomi digital dan usaha ini termasuk mengembangkan pendigitalan, mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta memupuk pengkomersialan dan inovasi.

“Inisiatif adalah sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA).  

Ekonomi digital dan e-dagang dijangka menyumbang masing-masing 25 peratus dan 15.7 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menjelang 2025,” katanya. 

Dalam mengiktiraf kepentingan kesalinghubungan, Hanifah Hajar berkata Malaysia mewartakan perkhidmatan komunikasi sebagai utilti awam pada Jun 2021 bagi memastikan akses kepada semua individu dan perniagaan, dengan sasaran mencapai liputan 100 peratus 4G di kawasan berpenduduk dan kelajuan jalur lebar boleh alih kepada 100 megabit sesaat (Mbps) menjelang 2025. 

“Government Technology (GovTech) diperkenalkan untuk meningkat penyampaian perkhidmatan awam, menambah baik tadbir urus dan menyediakan perkhidmatan berpaksikan rakyat yang boleh diakses dari seluruh dunia. Inisiatif seperti pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU)  dan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID) menunjukkan lagi komitmen kepada pendigitalan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri  Thailand Srettha Thavisin merasmikan ESCAP 80 di Pusat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sini.

Bertemakan “Memanfaatkan Inovasi Digital Untuk Pembangunan Mampan di Asia dan Pasifik”, persidangan ini menghimpunkan pemimpin kerajaan dan menteri dari seluruh Asia dan Pasifik serta pihak-pihak berkepentingan yang lain untuk membincangkan bagaimana inovasi digital boleh menyumbang kepada pencapaian SDG merentas pelbagai disiplin.  

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan