AM

MALAYSIA-JEPUN TEKAD PERKUKUH KERJASAMA DALAM SEKTOR PEMBINAAN

25/04/2024 10:02 AM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Malaysia dan Jepun bertekad untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kedua-dua negara juga berhasrat memperkukuhkan kerjasama mengenai perkongsian maklumat dalam pengurusan dan penyelenggaraan lebuh raya, cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal.

Nanta berkata komitmen itu dizahirkan semasa pertemuan beliau dengan Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun Kokuba Konosuke di Tokyo pada Rabu.

“Pertemuan ini menjadi kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun yang telah dimeterai sejak 65 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata komitmen memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan Jepun selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu Pendigitalan Sektor Pembinaan Negara.

“Dalam hal ini saya yakin Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran teknologi Jepun dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.

“Perbincangan turut tertumpu kepada potensi kerjasama yang boleh diteroka oleh Malaysia dan Jepun dalam sektor pembinaan selain bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut dalam aspek teknikal di peringkat pegawai kedua-dua pihak,” kata Nanta.

Nanta juga berkata Jepun bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan serta jemputan menyertai program antarabangsa anjuran agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang akan diadakan tahun ini. 

Katanya dua program yang akan dilaksanakan adalah Highway Concession Conference pada 24 - 25 Sept dan International Construction Week pada November depan.

“Saya berharap pertemuan empat mata ini akan memberi hasil positif dengan dimuktamadkan menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang dihasratkan untuk dimeterai pada suku kedua 2024 dan seterusnya pada program Kementerian Kerja Raya sempena Ekspo Dunia Osaka 2025,” katanya.

Nanta berkata perjanjian persefahaman dapat membuka peluang kepada pemain sektor pembinaan Malaysia meneroka pasaran Jepun selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan kedua-dua negara adalah ahlinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan