AM

UTS SASAR KEMASUKAN LEBIH RAMAI PELAJAR ANTARABANGSA - NAIB CANSELOR

25/04/2024 12:46 PM

SIBU, 25 April (Bernama) -- Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berusaha meletakkan dirinya di peta dunia untuk menarik kemasukan lebih ramai pelajar antarabangsa.

Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata pelajar yang disasarkan universiti milik Kerajaan Negeri Sarawak itu adalah dari negara Asean seperti Indonesia, Brunei, Indo-China dan China.

"Ini selaras dengan pelan strategik UTS 2024-2030 dengan kita ingin menjadikan UTS sebagai universiti bertaraf global dalam bidang pendidikan teknikal dan professional,” katanya pada Malam Penghargaan UTS 2024 di sini, malam tadi.

Berkembang pesat sejak ditubuhkan pada 2013, UTS kini giat mendapatkan tenaga pengajar dan penyelidik untuk mencapai taraf global dalam bidang pendidikan teknikal dan profesional.

Khairuddin berkata jumlah pelajar di universiti itu telah meningkat sejak tiga tahun lepas daripada hanya lebih 1,000 orang kepada 3,200 orang pada masa ini.

Beliau juga yakin jumlah pelajar di universiti itu dapat dipertingkatkan lagi dengan pelaksanaan dasar pendidikan percuma di institusi penggajian tinggi (IPT) milik Kerajaan Sarawak pada 2026 untuk anak-anak Sarawak. 

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai agensi dan jabatan kerajaan serta pihak media yang telah membantu universiti itu mencapai tahap sekarang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan