DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP TINGGI BAGI HARI KEDUA

07/05/2024 10:11 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi bagi hari kedua berturut-turut pada Selasa, kata penganalisis.

Ini susulan peningkatan niaga hadapan semalaman minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dalam tempoh dagangan waktu Asia selain kenaikan niaga hadapan minyak sayur China.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani memberitahu Bernama, sentimen kenaikan harga itu turut didorong oleh data pengeluaran minyak sawit kilang selatan semenanjung yang lebih rendah pada tempoh 1-5 Mei lepas manakala data Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) menunjukkan penyusutan sekitar 24 peratus bagi bulan ke bulan.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi oleh Peniaga Minyak Sawit David Ng yang menyifatkan kenaikan harga MSM didorong oleh keuntungan positif dalam CBOT.

Malah, katanya, keuntungan dalam pasaran kacang soya Chicago juga susulan cuaca buruk di kawasan penanaman Amerika Selatan yang turut mendorong kenaikan harga minyak sawit pada hari ini.

“Paras sokongan dilihat melebihi RM3,800 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,000,” katanya.

Sewaktu ditutup, kontrak semasa Mei 2024 dan Jun 2024 masing-masing meraih RM51 kepada RM3,960 satu tan dan RM3,944 satu tan manakala Julai 2024 menokok RM68 kepada RM3,930 satu tan.

Selain itu, Ogos 2024 meningkat RM76 kepada RM3,926 satu tan, September 2024 melonjak RM79 pada RM3,925 satu tan dan Oktober 2024 menambah RM75 kepada RM3,925 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 70,166 lot daripada 39,361 lot semalam dan kepentingan terbuka berkurangan kepada 221,326 kontrak daripada 227,559 kontrak, sebelum ini. 

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan meningkat RM40 pada RM3,980 satu tan.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan