POLITIK

PRK DUN KUALA KUBU BAHARU BERMULA ESOK

26/04/2024 12:33 PM

HULU SELANGOR, 26 April (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) akan membuka tirai esok dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Bermula 9 pagi, bakal calon daripada parti yang bertanding termasuk calon Bebas boleh menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon (PPC).

Proses penyerahan kertas penamaan calon akan ditutup sejam selepas itu.

Sebaik urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon yang layak bertanding bagi PRK berkenaan.

Setakat ini, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao telah dinamakan sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan manakala pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) cuaca diramal baik di sebelah pagi di Kuala Kubu Baharu esok, manakala ribut petir dan hujan di sebelah petang dan malam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan