EKONOMI

LABUAN IBFC BERKEMBANG DI TENGAH-TENGAH PEMULIHAN GLOBAL

26/04/2024 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) terus berdaya tahan, didorong oleh lonjakan aktiviti kewangan serta prestasi teguh merentas sektor di tengah-tengah perjalanan pemulihan ekonomi global pada 2024.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Nik Mohamed Din Nik Musa berkata Labuan mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kaptif terkemuka di Asia, melaporkan rekod premium kasar sebanyak US$624.6 juta selain menarik lapan penubuhan kaptif baharu pada 2023, seterusnya, memperoleh pengiktirafan antarabangsa untuk rangka kerja kawal selia dan struktur inovatifnya. (US$1=RM4.77)

“Penonjolan Labuan IBFC sebagai pasaran kaptif telah diiktiraf dengan penganugerahan Domisil Kaptif Yang Sangat Dipuji oleh Anugerah Kajian Kaptif Eropah 2023 di Luxembourg termasuk disenaraikan sebagai sepuluh teratas dalam Kemas Kini Domisil Dunia oleh Captive Review 2023, mengesahkan pengiktirafan dan tarikan antarabangsanya,” katanya semasa pelancaran Laporan Pasaran IBFC Labuan 2023 di sini hari ini.

Firma-firma amanah juga mengalami pemulihan yang luar biasa, dengan keuntungan naik tiga kali ganda kepada US$11.2 juta, didorong oleh pertumbuhan 31 peratus dalam jumlah pendapatan yang didorong oleh peningkatan pemerbadanan syarikat. 

“Tambahan pula, sektor pertukaran kewangan Labuan mempamerkan inovasi digital, dengan terbitan empat token sekuriti patuh syariah (RAMZ) berjumlah US$50 juta yang disenaraikan di bursa digitalnya,” katanya.

Nik Mohamed Din berkata keunggulan global Labuan IBFC serta tarikannya telah diiktiraf lagi oleh anugerah Domisil Kaptif Yang Sangat Dipuji daripada Anugerah Semakan Kaptif Eropah 2023 dan berada di kedudukan sepuluh teratas dalam Kemas Kini Domisil Dunia daripada Captive Review 2023.

Sementara itu, beliau ketika mengulas mengenai Laporan Pasaran Labuan IBFC 2023 berkata ia menyerlahkan pencapaian penting Labuan IBFC sepanjang tahun, terutamanya dengan catatan pertumbuhan lapan peratus dalam pemerbadanan syarikat baharu.

Rantau Asia Pasifik muncul sebagai pemacu utama, dengan lonjakan luar biasa sebanyak 14.9 peratus, diterajui oleh syarikat dari Singapura, Indonesia, India dan Pakistan.

Nik Mohamed Din berkata sektor perbankan turut menyaksikan lonjakan keuntungan, dengan peningkatan tiga kali ganda iaitu pada paras 322.5 peratus, sehingga mencecah US$589.7 juta dan pulangan atas aset menokok empat kali ganda pada 1.2 peratus.

"Ini disokong oleh amalan pengurusan aset yang berhemat serta persekitaran kadar faedah yang menggalakkan," katanya.

Pendapatan faedah bersih sektor itu mencecah sedekad tertinggi pada US$2.7 bilion, selepas bank-bank baharu dari Timur Tengah serta rantau Pasifik tertarik ke Labuan, seperti dua bank pelaburan dari Dubai dan Vanuatu.

"Industri insurans juga menyaksikan pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan jumlah premium mencecah US$2.7 bilion, dan keuntungan pengunderaitan mencatatkan kenaikan bersejarah US$456 juta selepas COVID," katanya.

“Portfolio perniagaan bukan Malaysia menyumbang bahagian pasaran yang lebih besar dengan risiko insurans yang ditaja jamin terutamanya daripada pasaran Asia-Pasifik dan rantau Timur Jauh,” katanya.

Nik Mohamed Din menambah Labuan FSA kekal komited untuk memupuk kerjasama dengan kerajaan serta badan domestik bagi memanfaatkan prospek perniagaan yang baru muncul dalam Labuan IBFC, memanfaatkan pelbagai penyelesaian dan struktur kewangannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan