EKONOMI

MYAIRLINE AKAN TERUS KEKALKAN BARISAN PEMEGANG JAWATAN, DAPATKAN PELBAGAI PELABUR

26/04/2024 07:00 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- MYAirline Sdn Bhd akan terus mengekalkan barisan pemegang jawatan yang dilantik dan pengurusan utama selain memastikan dokumentasi Sijil Perakuan Pengendali Udaranya (AOC) kekal dalam keadaan terkini.

Persiapan itu adalah sebagai jangkaan permohonan pelesenan baharu, sekali gus dapat memastikan syarikat penerbangan itu dapat menyambung semula operasinya, kata Eksekutif Bertanggungjawab interim MYAirline Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman. 

“Oleh itu, ia belum berakhir untuk MYAirline dan kami masih berusaha untuk mendapatkan pelabur,” katanya.

Azharuddin berkata MYAirline masih mengadakan perbincangan dengan beberapa pelabur yang berminat dan berharap dapat memuktamadkan perjanjian dalam masa terdekat.

“Kami melihat kepada pelbagai pelabur kali ini, bukan hanya satu pelabur, daripada pelabur tempatan dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata syarikat penerbangan telah mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk mendapatkan lesen perkhidmatan udara bersyarat (ASL) tetapi malangnya pelabur yang berpotensi telah menarik diri.

“Tidak akan berputus asa. Selepas kami berjaya mendapatkan pelabur, MYAirline akan memohon ASL baharu daripada MAVCOM dan AOC baharu daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya. 

Pada 12 Jan lepas, Bernama melaporkan bahawa MYAirline telah mendapat pelabur dari Timur Tengah, dengan sumber menyatakan keyakinan bahawa syarikat penerbangan itu boleh melaksanakan usaha untuk menyambung semula operasi pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, pada 24 April lepas, The Edge Malaysia melaporkan bahawa CAAM telah membatalkan AOC MYAirline, berkuat kuasa 15 April selepas syarikat penerbangan itu gagal mencari pelabur baharu sebelum tarikh akhir 14 April. 

Bagaimanapun, menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud, ia mengekalkan pemegang jawatan yang diperlukan untuk permohonan semula.

Mengulas laporan itu, Azharuddin mengesahkan bahawa CAAM telah membatalkan AOC syarikat penerbangan itu pada 15 April, yang sebelum ini digantung.

“MYAirline tidak memohon kepada CAAM untuk sebarang lanjutan mengenai penggantungan AOC berikutan tiada perjanjian telah ditandatangani dengan mana-mana pelabur,” katanya. 

MYAirline telah membawa lebih sejuta penumpang di peringkat domestik pada 26 Jun 2023, beberapa bulan selepas penerbangan sulungnya sebagai syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia.

“Ramai orang mahu MYAirline kembali beroperasi dan ini hanya mengenai masa sehingga kami berjaya mendapat pelabur,” katanya.

Syarikat penerbangan itu mempunyai purata faktor muatan sebanyak 91 peratus dan menggunakan lapan Airbus A320-200 sehingga 12 Oktober, mencatatkan prestasi tepat pada masa yang baik melebihi 90 peratus.

Pada 12 Oktober, MYAirline membuat pengumuman mengejut bahawa ia telah menggantung operasinya berkuat kuasa pada hari yang sama, dengan alasan tekanan kewangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan