BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | 
 AM

JOHOR PERLU PACU AUTOMASI, GUNA TEKNOLOGI DAN GAJI LEBIH TINGGI - LIEW

01/05/2024 06:07 PM

JOHOR BAHRU, 1 Mei (Bernama) -- Johor mesti memacu kadar automasi, penggunaan teknologi baharu serta gaji yang lebih tinggi secara menyeluruh untuk memanfaatkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Menerusi catatan dalam lamannya di Facebook, beliau berkata tidak ada manfaat untuk mengeluh mengenai kehilangan pekerja kepada Singapura sebaliknya, firma Malaysia perlu mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti dengan gaji lebih baik untuk pekerja tempatan.

Liew yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata JS-SEZ merupakan usaha penting kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan dorongan pembangunan baharu di Johor menerusi kerjasama rapat dengan Singapura.

“Johor berada di barisan hadapan permulaan pertumbuhan pesat negara. Dunia telah mengalihkan tumpuannya ke arah Asia Tenggara dan Malaysia adalah negara utama di Asia Tenggara.

“Di Malaysia, Johor sedang dibangunkan untuk menjadi bandar ekonomi kedua seperti Osaka di Jepun, Melbourne di Australia dan Busan di Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pelaburan semata-mata tidak mencukupi dan usaha mesti dilakukan untuk meningkatkan gaji, produktiviti dan penggunaan teknologi.

“Pelaburan sama ada domestik atau luar negara dibawa masuk kerana kita mahu mencipta pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih tinggi, dan untuk mewujudkan perniagaan dan keupayaan perindustrian Malaysia yang lebih kukuh,” katanya.

Liew berkata negara secara amnya perlu menghindari kitaran kejam gaji rendah, produktiviti rendah dan penggunaan teknologi rendah.

“Sebaliknya, kita perlu berada dalam kitaran baik gaji yang lebih tinggi, produktiviti yang lebih tinggi dan penggunaan teknologi yang meningkat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan