AM

MALAYSIA TAMBAH 10 LAGI KONTENA BANTUAN KE GAZA

07/05/2024 11:33 AM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Malaysia menambah 10 lagi kontena Bantuan Kemanusiaan Kecemasan ke Gaza, Palestin menjadikan keseluruhan kontena yang dihantar sebanyak 110 kontena, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pelancaran misi itu di Kaherah, Mesir semalam, berkata kontena itu mengandungi makanan asas seperti beras dan tepung selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita.  

"Penambahan 10 lagi buah kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 buah kontena dengan nilai RM12 juta yang boleh memanfaatkan 60,000 keluarga di Gaza," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Turut hadir pada pelancaran misi bantuan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu ialah Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid dan ketua misi bantuan Sani Araby Abdul Alim Araby.

Penghantaran 100 kontena yang merangkumi 1,358 tan barangan ke Gaza sebelum ini telah dilancarkan Ahmad Zahid di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, Selangor pada 23 Mac lepas.

Pada hantaran itu, Nik Nazmi berkata hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan Mesir termasuk peranan langsung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan kontena Malaysia yang membawa barangan bantuan itu melalui perjalanan yang lancar.

Beliau juga menegaskan Malaysia akan kekal lantang dan "punching above our weight" dalam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia yang menjadi tradisi sejak awal kemerdekaan negara.

“Dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon tetapi tidak tegas isu letupan berterusan, pencemaran air kritikal dan kerosakan tanah di Gaza,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan