AM

MALAYSIA PERLU TEROKA PELUANG BIDANG PEMBUATAN AEROANGKASA - TURKISH AEROSPACE

07/05/2024 08:40 PM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Syarikat aeroangkasa Malaysia perlu meneroka peluang dalam bidang pembuatan platform pesawat dan avionik, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries Inc (Tusas) Prof Temel Kotil.

Beliau berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk berbuat demikian memandangkan industri elektrik dan elektronik serta pembuatannya sudah mencapai kemajuan di rantau ini.

“Syarikat Malaysia perlu melakukan lebih banyak daripada segi pelaburan dalam pembuatan helikopter dan pesawat untuk keperluan pertahanan negara.

“Untuk berjaya (dalam bidang ini) harus beralih kepada produk tertentu seperti avionik. Syarikat besar boleh membina platform tetapi syarikat Malaysia harus memanfaatkan peluang dalam pembuatan subkomponen,” katanya kepada Bernama, di luar pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2024, di sini, hari ini .

Kotil berkata Tusas berminat untuk memperluas bahagian kejuruteraannya dan membantu syarikat Malaysia menyertai industri aeroangkasa.

"Turkish Aerospace telah menggunakan keupayaan kejuruteraan Malaysia jadi penduduk tempatan (rakyat Malaysia) boleh menumpukan kepada pembuatan platform untuk pesawat dan helikopter bagi memenuhi keperluan negara dan serantau," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tusas Malaysia Sdn Bhd Mohd Shahiman Sulaiman berkata pihaknya sedang giat bekerjasama dengan syarikat Malaysia ke arah itu.

“Pada masa ini, kami bekerjasama dengan 50 syarikat di Malaysia dan itu baru dua tahun dan kami mahu mengintai lebih banyak lagi. Sebanyak 50 syarikat itu ialah syarikat Tier 2 dan Tier 3 dan tahun ini kami menyasarkan untuk mendapatkan beberapa syarikat Tier 1,” katanya.

Beliau berkata tumpuan kerajaan untuk memperkasakan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Kecerdasan Buatan (AI) merupakan satu langkah yang baik untuk meningkatkan potensi industri aeroangkasa di Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan