EKONOMI

FBM KLCI MALAYSIA DI BAWAH NILAI SEBENAR, BOLEH MENINGKAT KE PARAS 1,680 MATA - AHLI EKONOMI

08/05/2024 06:45 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ketika ini berada di bawah nilai sebenar dan boleh mencecah ke paras 1,680 mata sekiranya nisbah harga pendapatan (PER) bursa tempatan kembali kepada purata jangka panjangnya, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas prestasi permodalan pasaran ekuiti Bursa Malaysia yang mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion pada Selasa.

Bursa tempatan menerajui pasaran rantau Asean dengan jumlah rekod melebihi 1,000 syarikat tersenarai awam.

“Setelah meneliti PER FBM KLCI, ternyata ia kini didagangkan pada 15 kali, berbeza dengan purata jangka panjang kira-kira 17 kali. Ini menunjukkan bahawa FBM KLCI berada di bawah nilai sebenar.

“Memandangkan trajektori positif ekonomi dan pendapatan syarikat, terdapat kewajaran untuk FBM KLCI meningkat lebih kukuh.

“Saya menjangkakan FBM KLCI mencecah sekitar paras1,680 mata jika PER kembali ke paras puratanya,” katanya kepada Bernama sambil menambah pelabur asing kini telah mula kembali ke bursa tempatan.

Menurutnya, terdapat perubahan ketara aliran pelaburan asing ke dalam pasaran saham Malaysia baru-baru ini.

“Mesyuarat terbaharu Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada minggu lepas mungkin bertindak sebagai pemangkin kerana keputusan Rizab Persekutuan AS untuk tidak menaikkan kadar faedah memberi kelegaan yang besar kepada pasaran,” kata Mohd Afzanizam.

Beliau berpendapat komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal, bersama-sama dengan perubahan dalam dasar cukai dan rasionalisasi subsidi bahan api yang bakal dilaksanakan, akan menyediakan kestabilan ekonomi.

“Mengekalkan momentum penyatuan fiskal berpotensi meningkatkan kedudukan kredit kerajaan, menarik lebih banyak dana asing ke dalam pasaran,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nizam Jaafar, profesor madya di Arshad Ayub Graduate Business School, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata lonjakan permodalan pasaran baru-baru ini membuktikan kekuatan dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Namun begitu, katanya, selain permodalan pasaran penting juga untuk mempertimbangkan pelbagai penunjuk dalam menilai iklim ekonomi tempatan.

“Ini termasuk kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), yang mempamerkan prestasi keseluruhan aktiviti ekonomi, kadar pekerjaan yang mencerminkan keadaan pasaran pekerjaan dan pengaruhnya terhadap perbelanjaan pengguna serta kadar inflasi - yang mana penting untuk mengukur kuasa beli dan kestabilan ekonomi.

“Selain itu, pelaburan langsung asing merupakan penunjuk utama keyakinan antarabangsa dan aliran masuk modal, manakala baki akaun semasa menunjukkan dinamik perdagangan dan impaknya terhadap kedaulatan kewangan.

“Kekuatan fiskal, yang menggambarkan impak pengurusan belanjawan kerajaan ke atas pelaburan awam, juga penting,” kata Mohamad Nizam.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa cabaran seperti turun naik pasaran, perubahan harga komoditi, ketidakstabilan politik dan potensi penilaian harga melebihi nilai sebenar  dalam pasaran boleh menjejaskan kenaikan ini.

“Oleh itu, walaupun trajektori pertumbuhan Bursa Malaysia kelihatan positif, kemampanannya akan sangat bergantung kepada keseimbangan strategik dalam menangani cabaran ini sambil memanfaatkan peluang untuk menarik lebih ramai pelabur.

“Mendukung prinsip dasar Malaysia MADANI dan memastikan komitmen teguh terhadap amalan tadbir urus yang baik akan menjadi penting dalam mengekalkan pertumbuhan pasaran yang teguh dan mampan dalam jangka panjang,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan