AM

Nanta Harap Pengganti Speaker Dewan Negara Diteruskan Oleh Wakil Sarawak

13/05/2024 05:55 PM

KAPIT, 13 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berharap kerajaan mempertimbangkan calon dari negeri Sarawak untuk mengisi jawatan Speaker Dewan Negara bagi tempoh satu penggal ini.  

“Kalau kita ingat Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini menjadi Speaker (Dewan Negara) dan selepas setahun beliau terpaksa melepaskan jawatan itu untuk menjadi TYT (Yang Dipertua Negeri Sarawak). 

“Selain itu, jawatan berkenaan pula digantikan oleh mendiang Datuk Mutang Tagal tetapi kita kehilangan beliau baru-baru ini, jadi tiga tahun atau satu penggal belum sempat lagi (wakil Sarawak menjadi Speaker Dewan Negara),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Mangkung Tiang’ (upacara pembukaan rumah) di Rumah Panjang Steward Saba di sini hari ini.

Bagaimanapun, Nanta menyerahkan semua keputusan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. 

Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-19 pada 19 Jun 2023, kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan tahun ini hingga 26 Jan 2028.

Mutang pula dilantik Yang Dipertua Dewan Negara ke-20 pada 19 Feb lepas tetapi meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada Sabtu (10 Mei).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan