EKONOMI

Hubungan Bilateral Malaysia-qatar Mampu Dipertingkat Menerusi Sektor Halal, Ai - Ahli Akademik

13/05/2024 09:23 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Hubungan dua hala Malaysia dan Qatar yang terjalin sejak 1974 mampu ditingkatkan menerusi pelbagai sektor, seperti industri halal, perbankan Islam, tenaga boleh diperbaharui dan aplikasi kecerdasan buatan (AI), kata seorang ahli akademik. 

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee berkata penglibatan ini penting bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasan baik dan sejajar dengan negara maju lain. 

“Industri halal adalah salah satu industri yang sedang berkembang pesat. Melalui AI pula, kita mahu pastikan negara kita sama tinggi dengan negara-negara maju lain.

“Jadi kita tidak mahu tercicir atau kebelakang, dan kita cuba untuk mengintegrasikan elemen AI ini dalam sektor-sektor baharu yang boleh kita terokai, misalnya dalam industri halal, kewangan Islam atau mentransformasikan ekonomi digital sedia ada,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Misi Malaysia Tarik Pelabur Qatar’ terbitan Bernama TV hari ini. 

Beliau berkata industri halal dijangka mmapu berkembang sehingga RM500.4 bilion menjelang tahun 2030.

“Saya melihat percambahan ini boleh memberi satu sumbangan yang besar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kita cuba untuk capai sebanyak 8.1 peratus menjelang tahun 2025.

“Industri halal kita juga dilihat mempunyai hala tuju yang baik, iaitu menerusi Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan ini salah satu cara yang kita boleh teroka dengan Qatar memandangkan kita mempunyai potensi dari segi penghasilan produk atau perkhidmatan yang boleh kita ketengahkan,” katanya.

Pada 2023, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Qatar mencecah RM4.3 bilion, dengan eksport utama ialah produk besi dan keluli sebanyak 37.2 peratus; jentera, kelengkapan dan peralatan (16.5 peratus); produk minyak sawit dan pertanian berasaskan minyak sawit (8.5 peratus), manakala selebihnya ialah makanan diproses serta produk elektrik dan elektronik.

Sementara itu, import Malaysia dari Qatar terdiri daripada produk petroleum (47.4 peratus), petroleum mentah (31.5 peratus); kimia dan produk kimia (10.5 peratus), barangan perkilangan logam (9.3 peratus) dan produk perkilangan berasaskan minyak sawit (0.3 peratus).

Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan rasmi ke Qatar dari 12 hingga 14 Mei bagi mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Qatar dalam pelbagai aspek.

Semasa di Doha, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menyertai Forum Ekonomi Qatar (QEF) Keempat 2024 dan bertemu dengan peneraju industri serta para pelabur dari Qatar sebagai usaha menarik pelaburan bagi inisiatif Ekonomi MADANI.

Anwar juga akan menghadiri pertemuan dengan diaspora Malaysia di Doha. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan