AM

Fahmi Harap Insiden Meta Turunkan Berita Pertemuan PM, Pemimpin Hamas Tidak Berulang

16/05/2024 08:39 PM

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berharap insiden pengendali platform media sosial Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan laporan berita pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di platform media sosialnya tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau berkata pihak platform media sosial perlu menghormati pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat termasuk pelaporan mengenai sebarang kenyataan oleh anggota pentadbiran seperti Perdana Menteri.

"Alhamdulillah. Kita harap tidak berulang. Pada Jun nanti, insya-Allah saya akan mengadakan pertemuan dengan semua platform untuk memberi penegasan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, dengan kepimpinan yang ada kami mempunyai pendirian yang sangat jelas dalam beberapa perkara," katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di sini hari ini ketika diminta mengulas tindakan pengendali platform media sosial itu yang memuat naik kembali hantaran itu.

Terdahulu, media melaporkan Meta kembali memuat naik laporan berita pertemuan Anwar dengan pemimpin Hamas di platform media sosialnya yang diturunkan sejak kelmarin.

Syarikat itu dilaporkan berkata berlaku kesilapan dalam tindakan itu selepas kerajaan Malaysia mahu mengenakan tindakan tegas terhadap Meta dan pengendali media sosial lain jika mereka terus menyekat kandungan pro-Palestin di platform masing-masing.

"Dua hantaran yang dikeluarkan itu adalah satu kesilapan dan kini sudah dipulihkan," kata jurucakap Meta dalam e-mel kepada Reuters.

Pada Selasa lepas, Anwar telah bertemu Ismail Haniyeh di Qatar dan menegaskan bahawa walaupun mempunyai hubungan baik dengan pemimpin politik kumpulan itu, beliau tidak terbabit dalam tindakan ketenteraannya.

Semalam, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah menghantar surat kepada Meta untuk mendapatkan penjelasan berhubung tindakan menurunkan berita pertemuan Anwar dengan pemimpin tertinggi Hamas itu di beberapa platform media tempatan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan