AM

SERANGAN BALAI POLIS ULU TIRAM: JOHOR KUTUK SEBARANG BENTUK KEGANASAN

19/05/2024 02:17 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan Johor mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan ekstremis yang berlaku di negeri ini sehingga mengakibatkan kematian dua anggota polis dan seorang lagi cedera, Jumaat lepas.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi turut merakamkan rasa dukacita atas insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru itu dan meminta ahli Dewan supaya bertafakur selama seminit sebagai tanda penghormatan.

"Kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya akan sebarang bentuk keganasan ekstrem, apatah lagi apabila ia mengorbankan nyawa-nyawa yang tidak berdosa, lebih-lebih lagi wira-wira negara seperti anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita berdiri teguh bersama PDRM dalam usaha memerangi segala bentuk ekstrimisme dan akan bekerjasama dengan semua agensi keselamatan supaya perkara ini tidak berulang lagi di Johor," katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap turut menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan itu.

"Semoga kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh. Kita doakan Koperal Mohd Hasif Roslan yang masih dirawat diberi kesembuhan dan pulih seperti biasa," katanya.

Dalam kejadian pada 2.45 pagi Jumaat itu, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, meninggal dunia selepas diserang oleh seorang lelaki bertopeng bersenjatakan parang manakala Mohd Hasif ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail di sini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam dilapor berkata suspek berusia 21 tahun yang terbunuh dalam serangan itu dipercayai bertindak sendirian dan tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan