AM

TINDAKAN TEGAS DIKENAKAN JIKA JOHOR ALAMI GANGGUAN BEKALAN AIR - MB

19/05/2024 05:14 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan Johor bakal mengambil tindakan tegas terhadap syarikat dan agensi yang terlibat dengan pembekalan air di negeri itu, sekiranya kejadian gangguan bekalan air berulang.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata isu tersebut masih lagi kerap berlaku di beberapa kawasan, termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lepas.

“Gangguan bekalan air berlaku ketika Aidilfitri di Bukit Permai, Gambir dan Layang-Layang. Malah isu ini masih kerap lagi berlaku di kawasan-kawasan lain. Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada syarikat dan agensi yang terlibat.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaku badan pengawal, perlu bertanggungjawab dan memberi perhatian serius ke atas titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di Kota Iskandar di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata terdapat 19 sekolah di Johor dikategorikan sebagai sekolah daif, yang berdepan dengan masalah bumbung bocor, kerosakan kerusi meja dan struktur bangunannya tidak selamat untuk digunakan.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata daripada angka tersebut, 14 sekolah diluluskan peruntukan untuk dibaiki sejak tahun 2021, namun selepas tiga tahun tiada satu pun projek sekolah daif tersebut berjaya disiapkan.

“Di manakah silapnya? Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku, sehingga anak-anak kita yang menjadi mangsa karenah birokrasi. Malah, kita memerlukan tambahan guru dan sekolah baharu terutamanya di kawasan Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai.

“Isu ini menggambarkan betapa kritikalnya cabaran pendidikan yang kita hadapi, sehinggakan Pemangku Sultan Johor menitahkan Exco Pendidikan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri dan Yayasan Pelajaran Johor melaksanakan lawatan kerja penanda aras ke Singapura akhir bulan ini, bagi meningkatkan tahap pendidikan," katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata menerusi pemutihan data tahun lepas, jumlah miskin tegar di Johor, telah menurun sebanyak 39.5 peratus daripada 4,378 Ketua Isi Rumah (KIR) kepada 2,647 KIR.

“Dalam tempoh sama, Majlis Agama Islam Negeri Johor menerima bayaran zakat RM388 juta dan Jabatan Kebajikan Masyarakat pula diperuntukan RM269 juta. Ini bermakna, RM657 juta telah kita miliki untuk membantu mereka yang memerlukan. Melihat jumlah sebesar dan segah ini, Johor tidak sepatutnya lagi mempunyai rakyat yang dibelenggu kemiskinan tegar,” katanya.

Bagi menyemarakkan lagi Program Semarak Subuh di 988 masjid dan surau Johor, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menambah peruntukan RM840,000, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi program itu sebanyak RM1.4 juta.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pelaksanaan semula GST, sebagai satu sumber pendapatan tambahan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat, selaras dengan pandangan pakar ekonomi yang menyatakan bahawa GST adalah sistem percukaian yang terbaik untuk sesebuah negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan