ALOR SETAR, 19 Jun (Bernama) -- Kemajuan aktiviti pratepuan bagi tanaman padi musim 1/2026 telah mencapai 100 peratus, walaupun berdepan cabaran cuaca serta kekangan bekalan air akibat jumlah taburan hujan yang lebih rendah daripada jangkaan kebelakangan ini.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan memaklumkan kerja penyediaan tanah pula mencatatkan kemajuan sebanyak 94.8 peratus dan aktiviti penanaman telah meliputi 49.3 peratus daripada keseluruhan kawasan MADA.
Menurut kenyataan itu beberapa kelewatan yang berlaku sebelum ini, dipengaruhi keadaan taburan hujan yang rendah, sekali gus memberi cabaran kepada pengurusan bekalan air pengairan.
“Bagaimanapun, peningkatan turunan hujan ketika ini merupakan perkembangan positif yang dimanfaatkan sebaiknya oleh peladang, untuk mempercepat aktiviti penanaman.
“MADA merakamkan penghargaan kepada seluruh peladang di kawasan Muda yang terus memberikan kerjasama serta komited meneruskan aktiviti penanaman padi musim 1/2026,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kenyataan MADA itu memaklumkan bahawa pihaknya akan terus komited memastikan keperluan peladang dipenuhi sebaik mungkin, menerusi pengurusan bekalan air mengikut keupayaan semasa, pemantauan berterusan di lapangan, penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran serta pengedaran input subsidi secara teratur.
Menurut kenyataan itu, penyaluran maklumat dan hebahan terkini kepada peladang akan terus diperkukuh, bagi membantu mereka menguruskan aktiviti penanaman secara lebih terancang dan berkesan.
Sementara itu, status takungan air di tiga empangan utama MADA setakat 18 Jun menunjukkan jumlah simpanan sebanyak 507,027 ekar kaki atau 41.46 peratus.
Empangan Pedu merekodkan takungan 378,240 ekar kaki (43.23 peratus), diikuti Empangan Ahning 111,737 ekar kaki (50.11 peratus) dan Empangan Muda 17,050 ekar kaki (13.64 peratus).
MADA dalam kenyataan itu turut menyeru agar semua peladang menggunakan sumber air sedia ada secara berhemah dan mengamalkan kaedah penanaman yang bersesuaian dengan keadaan semasa bagi mengelakkan pembaziran.
Menurut kenyataan itu, kerjasama berterusan daripada seluruh peladang amat dihargai bagi memastikan kelancaran musim 1/2026 sekali gus menjamin kelangsungan pengeluaran padi serta memperkukuh keterjaminan bekalan makanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial