EKONOMI

Pameran Industri Pintar China Dorong Kerjasama Ai, Teknologi Malaysia-china

21/05/2024 12:54 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pameran Perdagangan dan Kebudayaan Industri Pintar China (CSITE) 2024 edisi keempat bersedia meningkatkan dan menggalakkan lagi pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan teknologi pintar di Malaysia.

CSITE 2024 yang dianjurkan Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM), diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan China.

Pameran dua hari yang bermula hari ini dengan menampilkan kira-kira 100 syarikat dari Malaysia, China dan Singapura yang memfokuskan kepada AI, teknologi pintar, telekomunikasi, infrastruktur data, industri awan dan pendidikan, dijangka menarik kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung.

Presiden PUCM Datuk Keith Li berkata, syarikat Malaysia dan China boleh memanfaatkan kepakaran masing-masing dan merebut peluang untuk mempelajari dan melaksanakan teknologi termaju kedua-dua negara untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan perniagaan.

Bercakap kepada Bernama selepas majlis pembukaan CSITE 2024 di sini hari ini, beliau berkata objektif utama perhimpunan itu adalah bagi menggalakkan pemindahan teknologi dari China ke Malaysia dan meningkatkan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan.

"Menjadi visi PUCM untuk mewujudkan platform bagi meningkatkan kerjasama antara perniagaan China dan Malaysia untuk mempromosikan pembangunan AI dan penggunaan teknologi pintar di Malaysia.

"Pada masa ini, China meningkatkan lagi pembangunan berkualiti tinggi untuk AI dan teknologi pintar manakala Malaysia turut membangunkan industri sedemikian dengan pantas. Terdapat potensi besar untuk kerjasama China-Malaysia yang dipertingkat," katanya.

Menurut Li, CSITE keempat 2024 akan menyaksikan pemeteraian 10 memorandum persefahaman antara peserta industri terkemuka meliputi pelbagai industri daripada AI, teknologi pintar, telekomunikasi dan pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan