AM

MOHAMAD SABU WAKILI MALAYSIA PADA MAJLIS KEBUMI PRESIDEN IRAN - PM ANWAR

21/05/2024 08:33 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu akan mewakili Malaysia untuk menghadiri majlis pengebumian Presiden Ebrahim Raisi.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika beliau menghubungi Presiden Interim republik Islam itu Mohammad Mokhber, hari ini.

Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada pemimpin itu di atas pemergian Almarhum Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian, serta delegasi yang maut dalam nahas helikopter pada 19 Mei.

“Saya memaklumkan bahawa Malaysia akan menghantar seorang menteri kanan (Mohamad Sabu) ke Iran untuk menghadiri majlis pengebumian Almarhum Presiden Raisi.

“Saya juga sempat mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan Almarhum Presiden Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian pada tahun lepas di New York dan Riyadh, dan saya telah memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepemimpinan Almarhum Presiden sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada Ahad lepas, helikopter yang membawa Raisi bersama Hossein Amirabdollahian dan beberapa individu lain, terhempas di kawasan Varzaqan ketika dalam penerbangan pulang daripada upacara perasmian empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan.

Susulan tragedi itu, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengisytiharkan tempoh berkabung awam selama lima hari, selain meluluskan pelantikan Mokhber yang juga Naib Presiden Iran sebagai presiden interim.

Anwar berkata menerusi perbualan telefon itu, Mokhber turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah, sementalahan menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi.

“Beliau turut berduka di atas kehilangan dua orang kenamaan besar dalam kemalangan tragis dan malang itu selain meninggalkan pengaruh yang sangat kuat di Iran.

“Di akhir perbualan, beliau memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama dengan Malaysia akan tetap dipelihara lantas diperkukuh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan