AM

694 Projek Baik Pulih Sekolah Daif Siap, 216 Lagi Di Peringkat Prabina

23/05/2024 03:02 PM

ARAU, 23 Mei (Bernama) -- Sejumlah 694 projek membaik pulih sekolah daif telah disiapkan sementara 216 projek lagi kini di peringkat prabina di seluruh negara setakat Mac lepas.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut garis masa ditetapkan.

“Jadi prosesnya sentiasa kita tambah baik dari semasa ke semasa. Sebab itu apabila kerajaan MADANI mengambil alih kerajaan ini tumpuan utama kita adalah menyelesaikan isu sekolah daif yang tidak pernah diselesaikan secara berfokus dan dengan baik sebelum ini dan kita ambil alih kita selesaikan.

“Jadi saya ingat soal tambah baik itu sentiasa berlaku dan penyelesaian telah pun dibuat dengan sangat baik. Kita bekerja dengan sangat pantas dengan kerjasama daripada agensi yang lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Pengisytiharan Nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein (sebelum ini SMK Arau) yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Fadhlina diminta mengulas kenyaataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dilaporkan meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menghapuskan birokrasi dan memperbaiki semula sistem penyampaian sedia ada terutama dalam melibatkan peruntukan menaik taraf sekolah daif.

Menurut Fadhlina tidak timbul isu berkenaan proses menaik taraf sekolah daif kerana kesemua projek dipantau secara teliti dan akan dipastikan siap mengikut garis masa ditetapkan.

Menyentuh isu gangguan seksual di sekolah, beliau berkata KPM telah mempunyai garis panduan menangani perkara itu yang ditekankan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi juga Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Selain itu, katanya KPM mengambil tindakan memperkukuh guru kaunseling untuk membantu dan memberi sokongan psikososial kepada pelajar serta menyediakan persekitaran sekolah yang selamat.

“Kita juga pastikan mereka (pelajar) mempunyai platform yang boleh dipercaya untuk mereka berkongsi isu tersebut dan paling penting apa tindakan sekolah apabila dapat tahu ataupun dimaklumkan tentang kejadian itu,” katanya.

Baru-baru ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dilihat semakin membimbangkan susulan banyak kes jenayah seks membabitkan kanak-kanak bawah umur direkodkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan