AM

Kuskop Anjur Pameran Sdsi Wilayah Utara Di Perak

24/05/2024 04:16 PM

IPOH, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama kerajaan negeri Perak akan menganjurkan Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Wilayah Utara dan Jelajah Hari Usahawan, Agro dan Koperasi Negeri Perak 2024 di Stadium Indera Mulia di sini bermula hari ini (Jumaat) hingga Ahad ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan KUSKOP, Datuk Zamri Salleh berkata, kerjasama berkenaan dijangka memberi impak serta manfaat lebih besar kepada usahawan dan pengunjung. 

Beliau berkata, pameran tersebut juga mewujudkan platform pemasaran dan memberikan informasi terkini mengenai bantuan atau kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan serta agensi berkaitan. 

"Program yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad itu memberi peluang kepada pengunjung mengenali produk-produk SDSI yang berpotensi dan berkualiti melalui pameran produk-produk SDSI.

“Uniknya untuk komuniti usahawan dan masyarakat bagi edisi Wilayah Utara, kita menggabungkan peragaan SDSI dan Jelajah Hari Usahawan, Agro Dan Koperasi Negeri Perak 2024 untuk menjadikannya lebih meriah dan memberi manfaat kepada masyarakat dan usahawan, khususnya di Perak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamri berkata, turut diadakan ialah pameran agensi di bawah kementerian dan negeri yang menawarkan perkongsian informasi, khidmat nasihat keusahawanan serta pameran agensi terlibat dalam penawaran kemudahan kewangan, termasuk daripada institusi kewangan konvensional/ Islamik, institusi kewangan pembangunan, organisasi pembangunan usahawan serta syarikat pembiayaan alternatif.

"Program ini turut menganjurkan sesi pocket talk, taklimat melibatkan agensi kerajaan, agensi pembiayaan, maklumat untuk mendapatkan pensijilan halal serta kaedah memasarkan produk secara dalam talian dengan percuma selain program pemasaran digital di platform Tiktok yang diadakan di pentas utama dengan kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),” katanya.

Mengenai Jelajah Hari Usahawan, Agro dan Koperasi Negeri Perak yang dilaksana Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), Zamri berkata, ia merupakan program memfokuskan konsep turun padang menyantuni usahawan dan bakal usahawan peringkat daerah dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi keusahawanan negeri dan persekutuan. 

"Objektif dan sasaran utama pelaksanaan siri jelajah ini adalah sebagai pusat khidmat setempat mengumpul pelbagai agensi keusahawanan di negeri Perak dan pihak berkaitan ekosistem keusahawanan seperti bank-bank, syarikat telekomunikasi dan lain-lain di bawah satu bumbung. 

"Ia juga bagi memberikan khidmat nasihat secara terus kepada bakal usahawan dan usahawan, menyebarluaskan maklumat untuk usahawan membuat permohonan pelbagai program keusahawanan, bantuan geran serta bantuan kewangan secara terus," katanya.

Seterusnya beliau berharap, pengisian pelbagai aktiviti yang dirangka akan membantu perkembangan industri kecil dan sederhana di Perak khususnya untuk perusahaan SDSI. 

KUSKOP juga berharap agar hubungan kerjasama dengan kerajaan negeri yang telah terjalin ini akan terus berkembang dan menghasilkan manfaat yang berkekalan kepada rakyat, terutamanya dalam konteks ini adalah komuniti usahawan di Wilayah Utara, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan