AM

PREMIS PELANCONGAN BERHAMPIRAN ZON BATU KAPUR PERLU TINGKAT KESELAMATAN

24/05/2024 09:43 PM

IPOH, 24 Mei (Bernama) -- Pusat pelancongan berhampiran zon batu kapur di Perak yang ditutup sebelum ini perlu meningkatkan aspek keselamatan selaras syor ditetapkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Kawasan Gua dan Kaki Bukit Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata syor berkenaan perlu diikuti oleh operator pusat pelancongan terbabit bagi memastikan perniagaan yang dijalankan itu mendapat kelulusan untuk kembali beroperasi seperti biasa.

“Semua operator yang telah dilantik sama ada dari pihak kerajaan dan swasta, semuanya perlu mematuhi syor (keselamatan) ditetapkan jawatankuasa itu terlebih dahulu.

“Selepas mereka dapatkan buktikan bahawa mereka sedia untuk melaksanakan atau sedang mempertingkatkan aspek itu maka kita akan melihat pada tempoh yang sesuai untuk membuka mana-mana yang telah ditutup sebelum ini,” katanya pada Sidang Media Kayuhan Santai Sempena Sambutan Hari Berbasikal Dunia 2024 di sini, hari ini.

Pada 8 April lepas, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun maut ditimpa batu di Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling dekat sini dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi.

Sehubungan itu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani telah mengarahkan jawatankuasa diterajui Pengarah Tanah dan Galian negeri Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip supaya melakukan siasatan menyeluruh selain langkah mitigasi.

Loh berkata meskipun penutupan itu sedikit sebanyak memberi impak kepada pendapatan kerajaan negeri namun langkah itu perlu dilakukan demi memastikan kemalangan jiwa tidak berulang.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 10,000 peserta dijangka menyertai Program Kayuhan Santai sempena Hari Berbasikal Dunia 2024 yang akan berlangsung serentak di enam daerah pada 14 Julai ini.

Menurutnya program itu terbuka kepada semua peringkat umur dan tiada sebarang caj dikenakan kepada peserta.

Program berkenaan akan dilaksanakan di Tambun, Taman Tasik Taiping, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Min di Teluk Intan, Taman Tasek Temoh di Tapah, Jambatan Victoria di Kuala Kangsar dan Marina Island, Manjung.

Katanya mereka yang berminat boleh menghubungi Cycledios Sdn. Bhd. selaku pihak penganjur utama bagi mendapatkan maklumat lanjut.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan