AM

Sambutan Hbn2024 Peringkat Kebangsaan Meriah Dengan Pelbagai Acara

25/05/2024 04:06 PM

MELAKA, 25 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dataran Pahlawan di sini, meriah dengan pelbagai acara.

Dengan sasaran kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung, sebanyak 72 aktiviti menerusi 10 segmen disediakan untuk pengunjung sepanjang tiga hari sambutan berlangsung bermula semalam dan berakhir esok.

Segmen gaya hidup di bawah jenama Rakan Muda itu adalah Rakan Aktif, Rakan Litar, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Demokrasi, Rakan Prihatin, Rakan Mahir, Rakan Niaga, Rakan Bumi dan Rakan Muzik.

Setiap segmen juga menyediakan platform berbeza untuk semua belia pelbagai kaum di negara seperti Rakan Aktif menjadi platform bagi aktiviti fizikal membentuk masyarakat aktif cergas selaras dengan hasrat Malaysia aktif.

Sambutan berkenaan yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Timblan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Sambutan turut dimeriahkan dengan acara sampingan iaitu RIUH x Hari Belia Negara 2024, membawakan 12 vendor yang menawarkan pelbagai barangan seni dan kreatif serta makanan. 

Pengunjung juga berpeluang menikmati konsert secara percuma pada malam Sabtu dan Ahad melibatkan penyertaan kumpulan popular seperti Hujan, Insomniacks, Dolla, Bunga, iamNEETA dan beberapa artis indie. 

Menariknya, sambutan berkenaan turut menawarkan 3,526 kekosongan jawatan di pelbagai sektor pekerjaan pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs selama dua hari bermula hari ini.

Ia melibatkan 12 majikan antaranya Mydin Mohamed Holdings Bhd, Xinyi Solar (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Ansel N.P. Sdn Bhd dan CTRM Aero Composites Sdn Bhd.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs merupakan satu daripada usaha untuk membawa peluang pekerjaan secara langsung kepada rakyat, serta meningkatkan kadar kebolehpekerjaan pencari kerja bagi mengatasi masalah pengangguran bukan sahaja di Melaka tetapi juga di negara ini.

Kaunter Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menawarkan diskaun saman sebanyak 50 peratus kepada pesalah trafik bermula 8 pagi hingga 5 petang. 

Ia melibatkan semua jenis saman yang dikeluarkan di seluruh negara kecuali kesalahan melibatkan kemalangan, saman berstatus 'non compoundable', saman Op Selamat, bicara mahkamah, memotong secara bahaya atau memotong barisan, guna lorong kecemasan, langgar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan ubah suai ekzos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan