EKONOMI

SIRI INVEST MIDA TONJOL POTENSI PERNIAGAAN SELANGOR

25/07/2024 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Selangor Bhd (ISB) telah menjadi penganjur bersama Siri Invest MIDA – Selangor: “Membuka Potensi Perniagaannya” yang bertujuan mempamerkan landskap dan peluang pelaburan di Selangor. 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata acara itu, yang menarik 200 peserta, mencerminkan komitmen MIDA untuk melibatkan diri dengan pelabur tempatan selain meneroka peluang luas di Selangor.

“Usaha ini menekankan peranan penting MIDA sebagai fasilitator, menghubungkan pelabur dengan peluang yang menjanjikan dan memupuk persekitaran pelaburan yang teguh di Malaysia.

“Berikutan kejayaan siri pertama Invest Selangor pada Ogos 2019, kami teruja untuk menyaksikan pertumbuhan dan pengembangan inisiatif ini pada 2024,” katanya dalam satu majlis hari ini.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata kerjasama dengan ISB adalah penting dalam meluaskan jangkauan dan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai magnet pelaburan.

“Pengembangan ini menandakan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi dalam meningkatkan status Selangor selain mewujudkan cadangan yang lebih menarik kepada pelabur,” tambahnya. 

Kemuncak utama acara itu ialah sesi panel dinamik, "Masa Depan Taman Perindustrian: Menyesuaikan Diri dengan Trend dan Cabaran Yang Muncul".

Perbincangan tersebut akan menyelami kuasa transformatif yang membentuk landskap pembangunan perindustrian, termasuk kemampanan dan teknologi hijau; pendigitalan dan pembuatan pintar serta daya tahan rantaian bekalan. 

Sikh Shamsul Ibrahim menjelaskan MIDA, di bawah panduan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kekal komited bagi mencipta kekayaan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

“Usaha kami, digabungkan dengan perkongsian strategik dengan kerajaan negeri Selangor, bertujuan untuk meletakkan Malaysia serta Selangor sebagai mercu tanda kemajuan dan kemakmuran di persada global,” katanya. 

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan