AM

PKNS LANCAR PROJEK TERES DUA TINGKAT PUTERI ARIANA 2

25/05/2024 05:22 PM

RAWANG, 25 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan projek pembangunan Puteri Ariana 2, iaitu kediaman teres dua tingkat berkonsepkan teknologi hijau terletak di perbandaran Kota Puteri dekat sini. 

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata projek itu selari dengan penekanan PKNS terhadap konsep kelestarian bagi menyokong amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam setiap pembangunannya. 

“Kediaman ini direka untuk mengurangkan kesan alam sekitar dan mempromosikan kelestarian melalui pelbagai ciri inovatif serta mesra alam seperti penggunaan tangki air hujan bagi setiap rumah bertujuan untuk mengumpul dan menyimpan air hujan untuk pelbagai kegunaan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada air terawat. 

“Selain itu, ciri-ciri reka bentuk yang mampan melalui pencahayaan semula jadi dan pengudaraan penyejukan turut diadaptasikan di kediaman ini bagi memenuhi keselesaan penghuni yang memberi suhu dan kualiti udara secara semulajadi dan segar di dalam kediaman,” katanya semasa pelancaran projek itu di sini. 

Sementara itu, Pengurus Besar Pembangunan Kota Puteri Crown City PKNS Ir Mohd Shahrol Md Sharif berkata projek pembangunan 72 unit rumah dengan harga ditawarkan bermula RM688,600 hingga RM849,200 itu dijangka siap pada Disember 2026. 

Beliau berkata rumah teres dua tingkat itu mempunyai luas pembinaan berbeza yang dibahagikan kepada dua jenis unit dengan saiz dari 1,789 kaki persegi (kps) hingga 2,060 kps berkonsepkan reka bentuk kediaman vernakular masa hadapan yang tertumpu kepada binaan setiap fasad unit dan idea kelestarian eko.

"Projek ini dibangunkan di kawasan seluas 2.61 hektar (6.46 ekar) dengan setiap unit dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air, dan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM52.7 juta," katanya.

Terletak di lokasi strategik dan kejiranan yang pesat membangun, Puteri Ariana 2 juga mudah diakses melalui beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Guthrie, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Jalan Persekutuan Shah Alam-Batu Arang.

Selain itu, Puteri Ariana 2 juga berdekatan dengan institusi pendidikan seperti  Universiti Selangor (UNISEL) Bestari Jaya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dan Puncak Perdana selain Hospital UiTM, Balai Polis Kota Puteri, taman permainan dan pusat komersial bagi kemudahan penduduk di kediaman ini.

Pembeli yang berminat boleh berkunjung ke Galeri Jualan Hartanah Kota Puteri atau menghubungi Eksekutif Jualan PKNS di talian 03-50220188 atau 010-9280187.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan