AM

HAYATI LIRIK BUKAN KERANA NAMA, JUNJUNG RUKUN NEGARA  – ABDULLAH SAIDOL

25/05/2024 06:10 PM

KUCHING, 25 Mei (Bernama) – Lirik lagu Bukan Kerana Nama nyanyian artis rock terkenal Datuk Ramli Sarip harus dihayati oleh pelajar jurusan komunikasi sebagai antara cara menyelami maksud berkomunikasi.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Datuk Abdullah Saidol berkata ini akan membolehkan mereka memahami bahawa mesej boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk serta cara.

“Jika anda menghayati liriknya, anda akan mengerti… komunikasi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, (sama ada) secara terus atau naratif, ia amat subjektif,” katanya pada sesi dialog Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bersama Mahasiswa di Pustaka Negeri Sarawak di sini hari ini.

Sesi itu adalah sebahagian daripada pengisian Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa yang dihadiri kira-kira 250 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Kolej SEGi Sarawak dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Program anjuran bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan UNIMAS itu turut dihadiri Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif agensi berita berkenaan Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarangnya, Arul Rajoo Durar Raj serta Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit. 

Abdullah juga berkata prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan sewajarnya menjadi panduan kepada pelajar komunikasi untuk memahami etika kewartawanan dalam konteks Malaysia.

“Tentang etika (kewartawanan) dan sebagainya, pada akhirnya kita kembali kepada Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Kita boleh memiliki pelbagai undang-undang dan kod etika, (tetapi pada) akhirnya kita adalah warganegara (Malaysia),” katanya.

Beliau turut menghargai usaha Bernama berganding bahu dengan UNIMAS menganjurkan program jelajah itu yang dapat menjadi sebahagian daripada persiapan pelajar untuk memulakan karier dalam bidang komunikasi.

“Kita berterima kasih kepada Bernama kerana tujuannya adalah untuk menguruskan kecerdikan pelajar supaya apabila keluar universiti, ia akan membuahkan kebijaksanaan,” katanya.  

Selain sesi dialog, program itu menyaksikan pembentangan berkaitan Mobile Journalism oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri dan Fact Check oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism agensi berita berkenaan Sakina Mohamed.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan