AM

PM ANWAR TIBA UNTUK MERASMIKAN SAMBUTAN HAWANA 2024

27/05/2024 03:57 PM

KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini bagi merasmikan acara kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 hari ini. 

Beliau tiba di sebuah hotel di sini kira-kira pukul 3 petang, lokasi berlangsungnya acara berkenaan, dengan diiringi Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan dan Anugerah Apresiasi Khas Premier Sarawak, selain menyampaikan Anugerah HAWANA 2024 serta sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada penerima dalam acara kemuncak sambutan nanti.

Acara itu turut dihadiri dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, di samping kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Wakil persatuan, kelab media dan wartawan dari Singapura, Indonesia, Filipina, Brunei, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, China, Korea Selatan, Qatar, Perancis dan Kuwait telah berhimpun di bandar raya ini sejak Sabtu lepas, yang menyaksikan pelbagai program disusun bagi meraikan sambutan yang julung kalinya diadakan Bumi Kenyalang ini.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia yang mengangkat tema "Etika Teras Kewartawanan Mapan" itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak. Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) ialah agensi pelaksana HAWANA 2024.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan