AM

PULAU PINANG DICADANG KAJI SEMULA KADAR CUKAI TANAH, PERKUKUH PENTADBIRAN CAT

28/05/2024 06:18 PM

GEORGE TOWN, 28 Mei (Bernama) -- Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hari ini mencadangkan agar Pulau Pinang mengkaji semula kadar cukai tanah dalam usaha meningkatkan hasil kerana pendapatan negeri berkenaan banyak bergantung kepada urusan tanah. 

Teh Lai Heng (PH-Komtar) berkata cadangan itu juga berikutan Pulau Pinang tidak pernah mengkaji semula kadar cukai tanah sejak tahun 90-an, malah ada kawasan yang telah dibangunkan sebagai bandar tetapi masih dikenakan kadar cukai luar bandar.

“Bagaimanapun, cadangan ini memang tidak akan mendapat sambutan baik oleh rakyat Pulau Pinang seperti baru-baru ini pengumuman kenaikan bil air oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) walaupun kadar air tidak dinaikkan sejak 2015,” katanya ketika membahas ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata sumbangan terbesar hasil negeri di bawah komponen hasil bukan cukai adalah Bayaran Permohonan Tanah iaitu sebanyak RM85,150,698.

Selain itu, Teh berkata kerajaan negeri juga boleh menjual tanah kerajaan kepada pihak swasta untuk pembangunan sekali gus mendapat hasil yang besar seperti yang dilakukan sejak dulu termasuk menjual tanah Bayan Mutiara (41.68 hektar) kepada Syarikat Ivory dengan harga RM1.07 bilion pada 2011.

Bagi mengelakkan sesuatu projek yang memberi manfaat kepada rakyat lewat siap dari tempoh jangka masa yang ditetapkan, beliau mencadangkan kerajaan negeri menyenaraihitamkan jika terdapat kontraktor yang tidak berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu projek di negeri itu.

Sementara itu, Lim Guan Eng (PH-Air Putih) berkata Pulau Pinang yang mengamalkan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) harus memperkukuh urus tadbir itu demi meningkatkan hasil negeri agar terlepas daripada perangkap defisit kewangan fiskal.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata CAT mewajibkan tender terbuka dilaksanakan dan ia boleh memaksimumkan hasil atau mengurangkan kos sekali gus menghapuskan persepsi salah laku atau pilih kasih kepada kroni tertentu.

“Urus tadbir CAT juga menggalakkan pengurusan dan perancangan cukai dijalankan agar mengurangkan pendedahan pembayaran cukai. Ini penting untuk menambahkan hasil kepada kerajaan. Selain itu, urus tadbir CAT mengharuskan pelaburan kepada masa depan menerusi pendigitalan,” katanya.

Persidangan DUN bersambung esok.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan