AM

Siri Infografik Hifz Al-mal Beri Kefahaman Pengurusan Harta Keluarga Islam

28/05/2024 09:44 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melancarkan siri infografik Hifz Al-Mal (Pengurusan Harta Keluarga Islam) bertujuan menyampaikan maklumat serta sebagai panduan dalam aspek pengurusan hal ehwal itu kepada masyarakat. 

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil  berkata idea menghasilkan siri itu tercetus selepas pihaknya berjaya melaksanakan beberapa kursus kaedah pengurusan harta keluarga Islam untuk orang awam sejak 2019.

Menurut beliau, Jawatankuasa Penerbitan IKIM bersetuju supaya nota informatif dan menarik yang digunakan pada kursus itu, diperkemas dan ditambah baik untuk diolah menjadi buku panduan perancangan serta pengurusan harta infografik pertama terbitan IKIM.

"Siri infografik ini apabila siap sepenuhnya akan merangkumi enam tajuk dan yang dilancarkan hari ini melibatkan tiga tajuk iaitu 'Hibah', 'Harta Sepencarian' dan 'Wasiat'.

"Siri ini diusahakan oleh sekumpulan penyumbang terdiri daripada Hakim Mahkamah Syariah, peguam syarie, pensyarah, pegawai tadbir dan pegawai IKIM," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran siri infografik itu di sini hari ini.

Mohamed Azam berharap penerbitan tiga lagi tajuk dalam siri infografik itu dapat dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini. 

Selain itu, Mohamed Azam menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang membiayai sepenuhnya penerbitan siri infografik berkenaan.

IKIM turut mengumumkan penerbitan tiga buku bertajuk 'Wahai Anak Muda!', 'Vaksinasi dari Perspektif Sains dan Islam' serta 'Islam dan Isu Makanan Kontemporari' yang dijadualkan dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada Jumaat ini. 

Pelancaran itu berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PABKL 2024) yang sedang berlangsung sehingga 2 Jun ini, dengan IKIM menawarkan buku terbitannya di dua reruai di aras empat bangunan itu. 

IKIM juga menganjurkan pelbagai aktiviti untuk pengunjung termasuk sesi ‘meet and greet’ personaliti radio IKIMfm bersama peminat, 'Acara Dari Konti ke Pentas' iaitu program bual bicara secara langsung dan 'Slot Refleksi Buku' bersama penulis atau penyunting buku. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan