AM

KONSERT TEMA DISKO SATUKAN DISKORIA & SHEILA MAJID

29/05/2024 01:30 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Duo komposer Diskoria dari Indonesia bakal berkongsi pentas dengan ratu jazz negara Datuk Sheila Majid menerusi konsert “A Time Travel Diskoria With A Special Guest Sheila Majid” di Zepp Kuala Lumpur di sini, pada 14 Jun ini.

Mengakui teruja dengan kolaborasi itu, Diskoria yang dianggotai komposer Merdi Simanjuntak dan Fadli Aat berazam memberikan persembahan terbaik untuk peminat mereka di Malaysia.

"Selama ini kita hanya berharap dapat (berkolaborasi dengan Sheila) tetapi apabila kesempatan itu hadir, kita bersyukur... sebab lagu Sinaran yang dibawakan Sheila, sangat digemari oleh orang di Indonesia.

" ... jadi, apabila diberitahu akan bernyanyi dengan dia, ia macam mimpi jadi kenyataan," kata Merdi Simanjuntak dalam sidang media konsert berkenaan, di sini baru-baru ini.

Merdi Simanjuntak mengakui sambutan hangat yang diterima daripada peminat di Kuala Lumpur membuatkan mereka tidak pernah jemu untuk mengadakan konsert di Malaysia.

“Ini adalah konsert ketiga Diskoria di Malaysia tetapi buat pertama kali membabitkan kerjasama dengan artis tempatan. Jujurnya, kita senang sekali untuk kembali ke Kuala Lumpur. 

"Dari single pertama, kita dapati, banyak komen dari Malaysia yang meminta kita datang ke sini. Jadi kita selalu ingin datang ke Malaysia kerana ramai yang menyokong," katanya.

Konsert bertemakan “Disco 80-an” itu bakal menyaksikan pelopor muzik lokal Indonesia tersebut mempersembahkan lagu mereka seperti Badai Pasti Berlalu, Balada Insan Muda, Pelangi Cinta dan Serenata Jiwa Lara, sementara Sheila pula bakal menyampaikan lagu hits Diskoria serta lagu beliau sendiri dalam gaya muzik gabungan disko, funk dan pop retro buat kali pertama.

Selain Sheila, konsert anjuran MYdeteksi bersama-sama Sembang Kari Entertainment dan Tourism Malaysia yang berdurasi lebih 90 minit itu dijangka turut menampilkan kumpulan Jemput Dengar sebagai artis pembukaan.

Pengarah Kreatif MYdeteksi Shafika Mazlan berkata penampilan khas Sheila dalam konsert itu bertujuan memberi kelainan dalam persembahan Diskoria.

"Sebelum ini, Diskoria sudah dua kali membuat konsert di sini, jadi, kami mahukan sesuatu yang berbeza. Kita cuba tanya Sheila dan siapa sangka dia bersetuju untuk turut serta menjayakan konsert ini," katanya. 

Harga tiket bagi konsert ini adalah Serenta Jiwa Lara (RM165), Sinaran (RM165), C.H.R.I.S.Y.E (RM220) Badai Pasti Berlalu (RM320) yang boleh dibeli secara dalam talian menerusi www.myticket.asia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan