AM

KKM BATAL NOTIFIKASI TIGA PRODUK KOMESTIK MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

29/05/2024 01:22 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi tiga produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual, dan ia tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata produk berkenaan ialah N Glowing EWSB yang dikesan mengandungi merkuri; Karisma Golden Turmeric Cream (merkuri dan betamethasone 17-Valerate); dan SL Two Intensive  yang dikesan mengandungi hidrokuinon dan Betamethasone 17- Valerate.

Beliau berkata pembatalan notifikasi produk-produk itu dibuat oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM.

"Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya.

Dr Muhammad Radzi memberitahu produk yang mengandungi hidrokuinon dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan itu tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini. 

Dr Muhammad Radzi berkata hidrokuinon antaranya boleh menyebabkan bahan kulit yang disapu mengalami kemerahan, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Betamethasone 17-valerate pula menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kemudaratan.

Sehubungan itu beliau menggesa penjual dan pengedar produk terlibat menghentikan serta-merta penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

"Orang awam digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan