AM

ULANG TAHUN KE-50 HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-CHINA: BERNAMA TV SIAR RANCANGAN FORUM MEJA JUMAAT INI

29/05/2024 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi Bernama TV akan menyiarkan program Forum Meja Bulat pada Jumaat ini sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali berkata forum selama sejam yang akan menampilkan empat panelis berwibawa itu akan memfokuskan mengenai sejarah hubungan Malaysia dan China yang telah terjamin sejak lima dekad.

Empat panelis itu terdiri daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri-Kaunselor Kedutaan China di Malaysia Lin Shiguang, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Datuk Abdul Majid Ahmad Khan dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Bersekutu Datuk Ng Yih Pyng.

“Forum yang merupakan kerjasama Bernama TV dengan China Global Television Network (CGTN) ini terbahagi kepada empat segmen utama yang menyentuh berkenaan hubungan diplomatik, perdagangan dan ekonomi, silang budaya serta pendidikan yang mengeratkan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Forum itu yang dihoskan oleh pengacara Bernama TV Jessy Chahal bersama Ketua Biro Guangzhou CGTN Tang Bo di Wisma Bernama di sini, juga akan disiarkan di semua platform media sosial Bernama pada pukul 2.30 petang.

Sebelum ini satu program forum meja bulat telah disiarkan secara langsung di platform CGTN yang dihoskan wartawan dan penyampai berita Bernama TV Nor Liyana Zulkifli bersama Tang Bo.

Selain itu tiga siri dokumentari mini yang merupakan kerjasama julung kali dengan agensi media utama dari China juga akan disiarkan pada 30 Mei, 1 dan 4 Jun ini pada 8.30 malam.

Dokumentari mini itu akan mengetengahkan sejarah hubungan Malaysia khususnya Melaka dengan negara tembok besar itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan