AM

HAJI: DUA HINGGA TIGA TAN BARANGAN DIKIRIM KE MALAYSIA SEHARI

30/05/2024 12:20 PM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 30 Mei (Bernama) -- Jemaah haji negara mula mengirim barangan yang dibeli di Tanah Suci dengan purata dua hingga tiga tan barang dihantar ke Malaysia sehari.

Pengurus Khidmat Luar Lembaga Tabung Haji (TH) Zahari Zainal berkata barangan antaranya kurma, kekacang, sejadah dan jubah dihantar menerusi dua syarikat kurier dilantik TH yang ditempatkan di setiap hotel penginapan.

Beliau berkata pada tahun ini, TH meluluskan dua syarikat kurier iaitu Pos Malaysia Berhad dan FGV Transport Services bagi perkhidmatan berkenaan.

“Setiap 12 penginapan jemaah kita akan letak salah satu daripada syarikat yang dilantik ini untuk memudahkan jemaah menghantar pulang barangan ke tanah air. Jika ada kerosakan barang, kita ada perlindungan insurans.

“Sebab itu kita uar-uarkan kepada semua jemaah untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan berbanding syarikat di luar kerana jika berlaku apa-apa kejadian tidak diingini, TH tidak bertanggungjawab,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini.

Zahari berkata walaupun terdapat perbezaan nilai mata wang, caj penghantaran kekal seperti tahun lepas iaitu 18 riyal Saudi (SAR) sekilogram untuk penghantaran ke Semenanjung manakala ke Sabah dan Sarawak (SAR 23) kerana TH mempunyai perjanjian selama tiga tahun dengan syarikat berkenaan.

Beliau berkata setiap barang yang dikirim jemaah akan menggunakan kotak khas yang disediakan syarikat pengendali penghantaran barangan itu atau beg yang bersesuaian, dengan tempoh kiriman dijangka akan mengambil masa 14 hari bekerja.

Pada masa sama katanya sebelum penghantaran, pekerja kedua-dua syarikat itu akan memeriksa barangan untuk memastikan tiada barang larangan seperti air zam-zam, senjata atau bahan berbahaya.

Sementara itu katanya selain memantau perkhidmatan kiriman luar, Bahagian Khidmat Luar TH juga berperanan mengawasi perkhidmatan kafeteria yang disediakan di setiap maktab penginapan dari segi harga makanan dan minuman, kebersihan, kepelbagaian menu, kebersihan tempat dan diri petugas.

“Kita juga lihat kepada kualiti menu iaitu jualan pagi tidak dibawa ke petang serta harga juga tidak boleh melebihi harga siling ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan