AM

PEMUDA GEN Z HIDUP SEMULA FESYEN RETRO MENERUSI KANDUNGAN MEDIA SOSIAL

01/06/2024 10:00 AM

Oleh Nurhafizah Tan
 

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) -- Sering tampil dengan fesyen retro dalam kandungan media sosial menyebabkan penampilan Sharif Kamarul Husin Mohd Haflan bak fashionista dari era 70an atau 80an, yang dibawa oleh mesin masa.

Tampak selesa menggayakan pakaian seperti seluar bootcut (kaki kembang), kemeja bercorak dengan potongan vintaj dan aksesori kaca mata bingkai klasik, paparan video serta gambar di platform media sosial, melihat jejaka itu juga persis menonton semula babak filem era berkenaan.

Selain itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi Marin Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu juga bijak menyelitkan unsur drama dan komedi yang mencuit hati warga net sehingga menarik perhatian beberapa orang selebriti. 

Lahir pada tahun 2001, pemuda yang mahu dikenali sebagai Daeng Syarif itu mengakui meminati gaya retro kerana menggemari muzik dari era tersebut sejak kecil.

"Bila saya menonton video muzik seperti kumpulan Motley Crue, Queen dan Guns and Roses, saya tertarik dan terikut untuk mengenakan outfit atau pakaian seperti mereka dan mula mencari di kedai bundle.

"Minat ini semakin bercambah selepas video saya memakai baju retro yang disunting dengan latar seperti zaman itu mendapat sambutan dan mendapat 1.8 juta view di Instagram dalam tempoh seminggu selepas dimuat naik," katanya yang mula mencipta kandungan itu tahun lalu. 

Demi minat, anak bongsu daripada enam beradik itu sanggup meluangkan masa sehingga tiga jam di kedai bundle bagi mendapatkan pakaian vintaj, selain mengakui tidak mudah untuk mendapatkan pakaian diingini.

"Kena 'selam' bundle, kalau baju keluaran baharu memang tak ada. Spesifikasi baju pula mesti lengan panjang, hujung lengan tu ada butang, dan kolar lebih tinggi daripada baju biasa (keluaran terkini).

"Kebanyakan baju yang dijual dalam talian pula lebih mahal… malah ada yang berharga lebih RM100 berbanding di kedai bundle, yang biasanya sekitar lingkungan RM10 ke RM15 sahaja," katanya yang turut menjadikan laman Pinterest sebagai sumber rujukan. 

Daeng Sharif yang kini mempunyai lebih 77,000 pengikut di Instagram dan hampir 660,000 di Tik Tok berkata, kandungan dimuat naik di akaun tersebut sering menarik minat pengguna media sosial lebih berusia kerana dikatakan mengimbau memori peribadi mereka. 

Justeru untuk meluaskan audiens dan pengikut lebih muda, anak kelahiran Perak itu berhasrat mempelbagaikan penampilan dengan menggabungkan pakaian vintaj  dengan trend masa kini yang lebih relevan. 

"Fesyen yang menjadi trend pada era 90-an dan 2000-an contohnya pakaian hip hop juga menarik untuk digabungkan bersama dan mungkin lebih dekat di hati golongan yang lebih muda," katanya yang menjadikan pempengaruh fesyen luar negara Wisdom Kaye dan Vico Casden sebagai idola. 

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan