AM

EMPAT GAJAH DITEMUKAN MATI DI KLUANG

01/06/2024 04:00 PM

KLUANG, 1 Jun (Bernama) -- Empat ekor gajah ditemukan mati di sebuah kebun buah-buahan di Kahang Timur di sini hari ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor sedang memantau rapat mengenai kejadian melibatkan seekor gajah betina dewasa dan tiga anak gajah jantan itu.

"Saya telah berhubung dengan pihak PERHILITAN mengenai tindakan yang akan dilaksanakan. Perkara ini dalam makluman pihak PERHILITAN dan mereka sedang menyiasat serta telah mengambil sampel bangkai gajah tersebut untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Setakat ini, punca kematian kesemua gajah masih dalam siasatan pihak PERHILITAN. Kesemua bangkai gajah akan ditanam di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat tindakan sendiri sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terlibat dengan konflik haiwan liar seperti gajah.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan video di media sosial memaparkan empat ekor gajah ditemukan mati di sebuah kebun di daerah ini.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Johor Aminuddin Jamin ketika dihubungi berkata pihaknya akan melakukan bedah siasat terhadap kesemua haiwan liar itu bagi mengenal pasti punca kematian.

"Setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan sama ada kesemua gajah ini mati akibat diracun atau sebaliknya," katanya.

Pada 13 April lepas, Ketua Pengarah PERHILITAN Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dilapor berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa lokasi lintasan gajah di seluruh negara dengan Johor melibatkan Jalan Kahang-Jemaluang, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Kluang-Kota Tinggi.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan