AM

50,000 PESERTA BERMOTOR BAKAL MERIAHKAN MALAYSIA BIKE WEEK

02/06/2024 03:16 PM

MELAKA, 2 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri menyasarkan penyertaan kira-kira 50,000 peserta bermotor sempena penganjuran selama tiga hari Malaysia Bike Week yang bermula 14 hingga 16 Jun depan di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Exco Pelancongan Warisan Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata program anjuran dengan kerjasama Persatuan Superbikers Malaysia itu bukan sahaja menghimpunkan pemilik motosikal berkuasa tinggi malah pelbagai kategori serta motosikal klasik.

"Kita juga telah dimaklumkan daripada persatuan permotoran dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand yang berminat untuk menyertai acara berskala besar ini.

"Selain itu dijangka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut berkenan mencemar duli bagi menghadiri Malaysia Bike Week ini pada 15 Jun itu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival di Bandar Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata festival itu juga akan turut mempamerkan pelbagai aset terpilih termasuk motosikal milik Sultan Ibrahim di Dewan B dan C MITC yang dibuka secara percuma kepada pengunjung.

Beliau berkata sempena program itu juga, sebanyak sepuluh motosikal dan satu kereta Proton X50 turut disediakan khas bagi cabutan nombor bertuah kepada peserta dan pengunjung yang hadir.

"Kita juga telah bersiap sedia 100 peratus dalam menyediakan kemudahan bagi penganjuran program itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang dijangka menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.

Terdahulu, program Konvoi Malaysia International Classic Bike Festival tersebut telah disertai sebanyak 800 pemilik motor klasik dari seluruh negara termasuk Indonesia, Singapura dan Indonesia yang berkampung selama tiga hari di Melaka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan