AM

Temasya Budaya Negeri Perak 2024 Di Menara Condong Selama Empat Hari

20/06/2024 03:27 PM

IPOH, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak akan menganjurkan Temasya Budaya @ Negeri Perak 2024 dalam festival empat hari bermula 27 Jun ini dari 9 pagi hingga 11 malam di Dataran Menara Condong, Teluk Intan. 

JKKN Perak dalam kenyataan memaklumkan program itu antara lain bertujuan mengangkat kepelbagaian seni, budaya, warisan dan pelancongan yang terdapat di negeri ini dengan kepelbagaian etnik serta kaum yang meliputi budaya, etnik dan amalan tradisi. 

Menurut jabatan itu, temasya tersebut secara langsung menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa untuk hadir bagi menyaksikan secara dekat pengisian seni budaya warisan dan pelancongan di Perak.

"Turut diatur beberapa program utama persembahan hebat oleh artis Dayang Nurfaizah, Shazreen Shaharum termasuk persembahan kebudayaan daripada pelbagai etnik, Festival Homestay Perak, Klinik Seni Budaya, Busana Run dan Malam Kerohanian bersama Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias," menurut kenyataan itu. 

JKKN Perak memaklumkan temasya itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Kebudayaan Perak dengan sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak serta Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI).

Menurut JKKN Perak, terdapat 10 pertandingan diadakan sepanjang tempoh temasya berlangsung dan penyertaannya terbuka kepada orang ramai yang berminat serta tidak terhad kepada warga Perak sahaja.

"Antara pertandingan yang dianjurkan adalah pertandingan tarian Dabus dan Rampaian, kebaya cilik, mewarna keluarga MADANI, Serikandi Puteri Perak, mobile grafi, silat seni, hiasan kolam, gendang Urumi, nyanyian serta masakan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, JKKN Perak menjemput orang ramai hadir bagi memeriahkan majlis, pada masa sama menyaksikan keindahan budaya yang dipamerkan di temasya itu di samping merasai pengalaman unik dalam mengenali pelbagai aspek seni dan budaya tempatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan