AM

GUA MUSANG BAKAL JADI PUSAT EKONOMI - TMB

03/06/2024 04:33 PM

GUA MUSANG, 3 Jun (Bernama) -- Gua Musang bakal dijadikan antara daerah pusat ekonomi negeri Kelantan susulan kedudukannya yang strategik dan dapat menghubungkan negeri ini dengan Kuala Lumpur, Perak dan Terengganu. 

Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata ia adalah sejajar dengan misi Kerajaan Negeri untuk membangunkan beberapa bandar baharu yang berfungsi merubah landskap ekonomi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata Gua Musang adalah antara daerah paling pesat pembangunan dan mempunyai laluan strategik yang baik sebagai perhentian sebelum ke Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

“Selain itu, kita ingin membangunkan beberapa bandar baharu antaranya di Tunjong, Tok Bali, Lojing dan kawasan bandar Gua Musang," katanya kepada pemberita setelah merasmikan pembukaan Pasaraya G-Orange di Bandar Utama, di sini hari ini. 

Mohamed Fadzli berkata keadaan ekonomi akan bertambah baik setelah pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama disiapkan, malah daerah ini akan menjadi tumpuan kerana kedudukannya di tengah-tengah Kelantan. 

“Kami mengharapkan agensi kerajaan negeri untuk memainkan peranan penting dalam usaha memajukan ekonomi setempat,” katanya. 

Menurutnya, kewujudan cawangan ketiga Pasaraya G-Orange yang dirasmikannya hari ini dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi kerana premis terbabit menyediakan kira-kira 500 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. 

"Oleh itu, saya menasihatkan rakyat yang mendapat peluang pekerjaan agar melaksanakan tanggungjawab dengan baik di samping menunjukkan komitmen tinggi dalam tugas yang diberikan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan