AM

DOF LAKSANA PENANAMAN SEMULA RUMPUT LAUT DI KAWASAN RAGUT, HABITAT DUGONG

06/06/2024 04:35 PM

ISKANDAR PUTERI, 6 Jun (Bernama) -- Jabatan Perikanan (DOF) sedang melaksanakan inisiatif penanaman semula rumput laut bagi memulihara tumbuhan itu di Pulau Tinggi dan Pulau Sibu, Mersing yang merupakan kawasan ragut dan habitat dugong.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) DOF Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata usaha itu dilakukan oleh pakar-pakar DOF dengan kerjasama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi menarik lebih banyak kehadiran mamalia tersebut di kedua-dua pulau berkenaan yang diwartakan sebagai Taman Laut.

“Selain (penanaman semula rumput laut) itu, seperti di Pulau Tinggi, kadang kala arus terlalu kuat dan ia akan menolak rumput laut yang tumbuh, oleh sebab itu kita juga akan buat tukun untuk membangunkan coral supaya rumput laut dapat berlindung daripada arus,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pelancaran Rasa-Rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha DOF bagi mengelakkan kepupusan dugong di perairan Mersing.

DOF menerusi kenyataan sebelum ini memaklumkan Kepulauan Mersing merupakan lokasi dugong kerap dijumpai, namun disebabkan ancaman terhadap habitat dan ekosistem rumput laut, populasi mamalia itu semakin mengecil.

Menurut DOF kawasan padang rumput laut di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi merupakan kawasan ragut yang penting bagi dugong seperti yang dilihat daripada kesan ragutan pada sepanjang tinjauan rumput laut dan kesan ragutan sejak 2014.

DOF turut memaklumkan, meskipun tiada anggaran bilangan tepat bagi populasi dugong di Kepulauan Mersing, Kajian Mamalia Laut dan Pemuliharaan (MareCet) meramalkan bahawa populasi dugong di kawasan itu kurang daripada 100 ekor.

Sementara itu ketika ditanya mengenai isu kupang di perairan Port Dickson yang dicemari biotoksin berbahaya pada April lepas, Wan Muhammad Aznan berkata setakat ini, ia tidak selamat untuk dimakan kerana masih tercemar dan belum mencapai kadar selamat untuk manusia iaitu 800 per bilion (ppb).

“Larangan menjual juga masih berkuat kuasa sehingga kita pastikan kadar biotoksin di bawah 800 ppb,” katanya.

Justeru beliau berkata pihaknya akan terus menjalankan pemantauan sehingga bacaan kembali ke paras normal dan selamat untuk dimakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan