EKONOMI

PENGGABUNGAN MAVCOM-CAAM TIADA KAITAN URUSAN PENJUALAN SAHAM MAHB - MENTERI PENGANGKUTAN

26/06/2024 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyangkal dakwaan bahawa penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bertujuan ‘melicinkan’ urusan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

MAVCOM akan beroperasi seperti biasa sebagai pengawal selia sektor penerbangan awam sehingga pembubaran berlaku, ia dijangka mengambil masa antara enam ke sembilan bulan selepas kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (pindaan) 2024, urusan MAHB pula akan selesai dalam tempoh enam bulan, kata Loke.

“Proses ini masih perlu melalui MAVCOM dan akan ditentukan oleh ahli-ahli suruhanjaya sedia ada...jadi ‘tiada udang di sebalik batu’ (ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik langkah ini). Penggabungan MAVCOM-CAAM tiada kena mengena dengan MAHB.

“Jika MAVCOM tidak bersetuju, maka tidak jadilah penjualan saham MAHB dan itu yang akan berlaku...maka tidak bolehlah mendakwa bahwa keputusan ini untuk membantu ‘melicinkan’ (melancarkan) urusan penjualan saham MAHB,” katanya semasa penggulungan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Loke berkata secara dasar langkah penggabungan MAVCOM-CAAM telah dipersetujui sejak tahun 2019 dan ia tidak dilakukan baru-baru ini.

Menerusi penggabungan entiti berkenaan, MAVCOM akan dibubarkan dan fungsinya akan diserap ke dalam CAAM, menjadikan pihak berkuasa tersebut badan kawal selia tunggal industri penerbangan awam di Malaysia.

Semasa sesi perbahasan RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024, beberapa Ahli-Ahli Parlimen menyeru kerajaan untuk menangguhkan penggabungan MAVCOM-CAAM dan membawa perkara itu untuk dibincangkan di dalam jawatankuasa khas.

Kerajaan juga didesak untuk mencari alternatif lain selain membubarkan MAVCOM, suruhanjaya penerbangan bebas yang bertanggungjawab untuk mengawal selia aspek ekonomi dan komersial industri penerbangan awam serta perlindungan hak-hak pengguna penerbangan di Malaysia, bermatlamat untuk menjadikan industri penerbangan awam negara berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan.

Mereka turut meluahkan kebimbangan dengan langkah berkenaan, mereka berpendapat ia boleh mengekang pengawal selia industri penerbangan yang telus dan bebas daripada campur tangan kerajaan.

Di sebalik desakan itu, RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 diluluskan Dewan Rakyat, membolehkan RUU Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (pindaan) 2024 dibentangkan untuk kali kedua hari ini.

Pada 2019, Kementerian Pengangkutan mengumumkan kerajaan akan menggabungkan kedua-dua entiti itu (MAVCOM DAN CAAM) dan fungsi utama MAVCOM akan dipindahkan kepada CAAM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan