EKONOMI

SUNWAY SERTAI KONSTITUEN FBM KLCI MENGGANTIKAN AMMB HOLDINGS

06/06/2024 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Sunway Bhd telah dimasukkan sebagai salah satu daripada 30 konstituen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bagi menggantikan AMMB Holdings yang diturunkan ke dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70.

FTSE Russell dan Bursa Malaysia Bhd dalam satu kenyataan bersama berkata perubahan itu dibuat berikutan semakan separuh tahunan Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, yang dilakukan mengikut peraturan asas indeks berkenaan.

FBM KLCI, yang merupakan sebahagian daripada Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia, digunakan secara meluas oleh pelabur sebagai penanda aras utama bagi pasaran modal Malaysia, termasuk pasaran derivatif, melalui FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures (FKLI) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Options (OKLI).

Indeks penanda aras itu juga diikuti oleh beberapa produk kewangan berkaitan indeks, seperti dana-dana dagangan bursa.

Sementara itu, Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 menyaksikan sembilan kemasukan baharu iaitu AEON Credit Service (M) Bhd, AMMB Holdings, IGB Real Estate Investment Trust, IJM, IOI Properties Group, Mega First, Pavilion Real Estate Investment Trust, Sime Darby Property dan Sunway Construction Group.

Manakala yang dikeluarkan ialah AEON (M), Astro Malaysia Holdings, Berjaya Corp, Dagang NeXchange, Hibiscus Petroleum, Sunway, Ta Ann Holdings, TSH Resources, Uchi Technologies.

Bagi Indeks Syariah Hijrah FTSE Bursa Malaysia, kemasukan baharu adalah Inari Amertron manakala yang dikeluarkan adalah Greatech Technology.

Semua perubahan konstituen itu berkuat kuasa pada 24 Jun, 2024, dengan semakan berikutnya ialah pada Disember 2024.

Sementara itu, senarai simpanan FTSE Bursa Malaysia KLCI yang terdiri daripada lima bukan konstituen terbesar indeks mengikut permodalan pasaran ialah AMMB Holdings, Dialog Group, Gamuda, IOI Properties Group dan Malaysia Airports.

Senarai simpanan itu akan digunakan jika satu atau lebih konstituen dikeluarkan daripada FTSE Bursa Malaysia KLCI selaras dengan peraturan asas indeks dalam tempoh sehingga semakan separuh tahunan berikutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan