AM

PERUNTUKAN RM200 JUTA DIUMUM PM DIAGIH BULAN DEPAN - AHMAD ZAHID

08/06/2024 04:48 PM

BANTING, 8 Jun (Bernama) -- Peruntukan tambahan RM200 juta yang diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini akan diagihkan kepada institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bulan depan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata agihan berdasarkan kursus-kursus yang ditawarkan itu dibuat sempena pengambilan pertama pelajar TVET untuk tahun ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata peruntukan tambahan itu ditumpukan kepada bidang seperti kenderaan elektrik, keselamatan siber, kecerdasan buatan, bahan termaju, teknologi elektronik, mekanisasi ladang dan automasi pertanian serta penternakan

“Kita harap daripada peruntukan ini, latihan teknikal seperti dalam industri sawit dapat dilaksanakan bulan depan kerana infrastruktur sudah tersedia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan sambutan itu mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi memperkasa dan meningkatkan penyertaaan belia menceburi bidang TVET.

Menurut Anwar peruntukan tambahan yang akan disalurkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) itu antara lain bertujuan menggalakkan institusi TVET membangun dan memperkasa program-program latihan seiring keperluan semasa pihak industri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata pelbagai syarikat antarabangsa bersedia menawarkan gaji permulaan lebih tinggi kepada lepasan TVET, mengambil kira realiti pemain industri memerlukan pekerja berkemahiran yang ditawarkan lepasan institusi kemahiran itu.

"Dalam pertemuan dengan beberapa syarikat antarabangsa, mereka sanggup bayar gaji minimum lebih RM4,000 (US$1,000), selain sudah memeterai MoU dengan syarikat berkenaan.

"Aspek latihan akan dibuat mengikut keperluan syarikat dan kilang berkenaan bagi mengelak ketidakpadanan serta pertindihan peluang pekerjaan," katanya.

Beliau mengulas laporan Tinjauan Gaji Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) untuk Eksekutif 2023 membabitkan 262 syarikat swasta yang dijalankan baru-baru ini, menunjukkan hanya 39.6 peratus majikan mengambil lulusan TVET.

Menurut laporan itu, situasi tersebut sekali gus menunjukkan kesedaran dan penerimaan lulusan TVET yang masih rendah bagi majoriti majikan swasta yang dilihat tidak terbabit dalam pengambilan pekerja melibatkan pelajar lepasan institusi TVET.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan