EKONOMI

KERAJAAN SARAWAK HENTI SUNTIK DANA KEPADA SEDC, BDA MULAI 2027

25/06/2024 07:25 PM

KUCHING, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sarawak tidak akan menyuntik sebarang dana bagi perbelanjaan modal kepada dua badan berkanunnya, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) berkuat kuasa 2027.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata keputusan itu dilaksanakan berikutan kedua-dua badan itu berpotensi untuk berdikari selain memulakan budaya organisasi baharu untuk tidak terlalu bergantung kepada kerajaan.

“Kita mahu mereka mencari pendapatannya sendiri. Mereka perlu meneroka aliran pendapatan baharu memandangkan beberapa anak syarikat terlibat dalam aktiviti perdagangan dan ekonomi.

“Oleh itu, kerajaan tidak perlu memberi (peruntukan) lagi. Kami akan menggunakan penjimatan yang diraih untuk projek infrastruktur lain dengan pulangan yang perlahan, seperti membina sekolah dan klinik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Juruaudit Negara di sini hari ini.

Abang Johari berkata langkah itu dilaksanakan dengan harapan dapat mengubah minda pihak yang mengendalikan badan berkanun, menjadikan mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi anak syarikat masing-masing.

“Kerajaan tidak perlu menggunakan wang (dana) untuk memberikan mereka modal. Selepas itu ‘diam.’ Tidak apa, rugi pun kerajaan akan bayar. Pemikiran seperti ini perlu diubah,” katanya.

Terdahulu pada persidangan itu, beliau berkata rancangan kerajaan Sarawak untuk menghentikan penyaluran dana modal kepada badan berkanun merupakan usaha untuk menggalakkan pengurusan yang padu dalam badan berkenaan di samping mengurangkan ketirisan kewangan.

“Setiap tahun mereka (badan berkanun) memohon untuk sumbangan modal dan ia telah menjadi satu sistem. Kerajaan perlu memberikan perbelanjaan modal setiap tahun tanpa mengetahui pulangannya. Di sanalah ketirisan akan berlaku,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan