EKONOMI

MEMAHAMI DINAMIK BOIKOT PERNIAGAAN

09/06/2024 01:31 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Dalam ekonomi pasaran bebas, boikot diiktiraf sebagai bentuk protes yang sah tetapi ia mempunyai potensi implikasi terutamanya terhadap komuniti, kehidupan dan ekonomi secara keseluruhannya. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata boikot sejajar dengan aktivisme pengguna, memperkasakan mereka dengan mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih baik apabila pengguna bertindak secara kolektif. 

“Terdapat potensi untuk meneliti manfaat yang wujud daripada boikot kerana ia meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna tentang pengaruh mereka terutamanya mengenai harga, jenis barangan dan perkhidmatan, kualiti dan impak organisasi terhadap masyarakat, sama ada di peringkat domestik mahupun global,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata percambahan boikot telah menekankan peranan penting yang boleh dimainkan oleh pengguna dalam mempengaruhi pasaran.

“Biasanya, pengguna tidak mendapat kelebihan, perlu menerima harga yang ditetapkan oleh perniagaan tanpa soal.

“Syarikat sering mengemukakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga tetapi pengguna jarang dimaklumkan mengenai butiran ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Tan Peck Leong berkata walaupun keuntungan jangka pendek daripada memboikot mungkin dilihat sebagai satu kemenangan, impak jangka panjang masih tidak pasti. 

“Penting untuk mengetahui daya tahan luar biasa perniagaan dalam menghadapi cabaran. Penyesuaian ini menekankan sifat dinamik perdagangan apabila kelangsungan hidup sering bergantung kepada pelarasan segera perniagaan tersebut kepada keadaan semasa,” katanya.

Beliau berkata memboikot menjana faedah yang terhad kerana perniagaan antara entiti yang paling mudah menyesuaikan diri di dunia. 

“Mereka amat berdaya tahan dan mampu mengatasi cabaran untuk terus hidup. Kebolehsuaian ini adalah ciri utama bagi ahli perniagaan,” katanya.

Beliau menjelaskan impak segera daripada memboikot selalunya paling ketara dirasai oleh kumpulan yang paling berisiko menghadapi kemudaratan, terutamanya pekerja berpendapatan rendah dan keluarga mereka. 

“Sebagai contoh, penutupan 100 restoran KFC baru-baru ini yang menyebabkan kira-kira 10,000 pekerja hilang pekerjaan, mewujudkan impak yang signifikan kepada komuniti. Kesan daripada tindakan sedemikian adalah besar, menjejaskan kesejahteraan kehidupan dan kestabilan ekonomi.

“Perkara ini menunjukkan sifat saling berkaitan dalam ekonomi, apabila keputusan yang dibuat di bilik mesyuarat memberi kesan kepada isi rumah,” katanya.

Beliau mencadangkan penyelesaian jangka panjang kepada memboikot ialah mengurangkan pengaruh syarikat yang tidak sejajar dengan nilai-nilai tempatan iaitu dengan menggalakkan inovasi serta meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan tempatan kepada standard global.

“Rakyat Malaysia perlu menerima inovasi serta meningkatkan produk dan perkhidmatan mereka kepada standard global. Dengan berbuat demikian, Malaysia boleh mendapat pengaruh di pentas dunia, memaksa organisasi dan syarikat untuk mematuhi etos dan piawaian kita,” katanya.

Beliau berkata dengan menggalakkan budaya inovasi dan kecemerlangan, perniagaan dan pengguna dapat memacu perubahan positif tanpa menggunakan pendekatan yang membawa kepada konflik.

“Kita perlu berusaha memperbaiki diri agar menjadi kompetitif sehingga dapat menyediakan alternatif dan mencapai perubahan yang diharapkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan