AM

TH BERI KOMITMEN KEPADA PASUKAN PETUGAS KHAS POLIS TANGANI ISU PENIPUAN

09/06/2024 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menyatakan komitmen penyertaan mereka dalam Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu jemaah haji terkandas dan penipuan pakej haji yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata TH akan menyalurkan segala maklumat yang diperlukan untuk proses siasatan yang dijalankan pihak berkuasa mengikut kuasa dan lunas undang-undang yang bersesuai. 

"Matlamat Pasukan Petugas Khas adalah untuk menangani isu ini sebaik mungkin secara bersepadu, sekali gus membantu menghentikan kesalahan dan kes penipuan berkaitan urusan haji di negara ini secara tuntas," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

Syed Hamadah menjelaskan isu berkaitan jemaah haji terkandas, penipuan pakej haji dan kesalahan penggunaan visa boleh melibatkan pelanggaran peruntukan di bawah undang-undang berbeza dan di bawah bidang seliaan pihak berkuasa dan agensi yang berbeza.

Ini termasuklah TH, polis, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan pihak berkuasa Arab Saudi, katanya. 

Pada 30 Mei lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan polis menubuhkan pasukan petugas khas itu, yang akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil. 

Pasukan petugas khas yang berperanan menyiasat dan melakukan tindakan awal terhadap sebarang aduan berkaitan isu tersebut, supaya ia dapat ditangani dengan lebih efisien dan berkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan